Baucar Buku MADANI 2026 Dibuka 1 Julai, Lebih 2.2 Juta Pelajar Terima E-Baucar RM100
Difahamkan, penebusan kali ini dilaksanakan sepenuhnya menerusi platform BookCapital yang kini mempunyai 1,238 syarikat penjual berdaftar.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Lebih 2.2 juta pelajar di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bakal menikmati manfaat Program Baucar Buku MADANI 2026 apabila penebusan e-baucar bernilai RM100 dibuka bermula 11 pagi esok, 1 Julai 2026 sehingga 31 Oktober 2026

Menurut laporan Berita Harian, program dengan peruntukan keseluruhan RM221.6 juta itu dijangka memberi manfaat kepada 2,217,579 penerima, merangkumi murid kelas peralihan, pelajar tingkatan satu hingga enam, kolej vokasional, matrikulasi serta Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM).
Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, penebusan kali ini dilaksanakan sepenuhnya menerusi platform BookCapital yang kini mempunyai 1,238 syarikat penjual berdaftar.
Menurut beliau, antara pembaharuan utama tahun ini ialah pengenalan Fokus Judul Khas MADANI, yang mewajibkan setiap penerima membeli sekurang-kurangnya sebuah buku daripada kategori tersebut.
Kategori berkenaan merangkumi karya kesusasteraan dan karya agung, buku sejarah, falsafah, ekonomi, geopolitik, pembangunan modal insan, selain bahan bacaan berkaitan kecerdasan buatan (AI), teknologi maklumat, STEM dan pendigitalan.
Langkah itu bertujuan menggalakkan pelajar mendapatkan bahan bacaan yang bukan sahaja membantu pembelajaran, malah memperluaskan pengetahuan dalam bidang strategik serta teknologi masa depan.
Kajian tunjuk impak positif kepada pelajar

Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh
Image via Berita HarianImage viaMenjawab soalan di Dewan Rakyat, Wong berkata KPM turut menjalankan penilaian berkala sejak program itu diperkenalkan pada 2024.
Berdasarkan kajian impak oleh Institut Darul Ehsan, 97.5 peratus responden bersetuju Baucar Buku MADANI banyak membantu pelajar, khususnya daripada keluarga berpendapatan rendah.
Selain itu, 92.2 peratus responden mengakui baucar tersebut membantu mereka membuat persediaan menghadapi peperiksaan.
Beliau turut memaklumkan Program Baucar Buku MADANI mencatat 100 peratus kadar penebusan pada tahun 2024
Menurutnya, pelaksanaan sepenuhnya secara digital bukan sahaja memastikan ketelusan, malah membolehkan pelajar di seluruh negara termasuk kawasan pedalaman menikmati akses yang sama terhadap bahan bacaan.
"Kita berjaya mencapai 100 peratus penebusan, 100 peratus ketelusan dan sifar ketirisan, sekali gus memastikan setiap anak Malaysia mempunyai peluang yang sama untuk mendapatkan buku tanpa mengira lokasi mereka," katanya.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



Cover image via