Bekas Juruwang Dipenjara Selepas Seleweng RM568,200 Demi Kekasih – “Habis Duit, Putus Cinta”
Nur Atiqah Asyirah Muhamad Fauzi dijatuhi hukuman penjara dua tahun oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Akibat terlalu percaya dan sanggup berkorban demi cinta, seorang bekas juruwang akhirnya menerima padah apabila dijatuhi hukuman penjara selepas mengaku bersalah menyeleweng lebih setengah juta ringgit bagi menampung gaya hidup bekas teman lelakinya
Menurut laporan Utusan, apa yang lebih menyedihkan adalah apabila wanita berusia 29 tahun itu bukan sahaja kehilangan wang dan kerjaya, malah hubungan cintanya turut berakhir selepas membantu lelaki terbabit mendapatkan kenderaan serta memenuhi pelbagai keperluan hidup.
Di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, Nur Atiqah Asyirah Muhamad Fauzi dijatuhi hukuman penjara dua tahun selepas menukar pengakuan kepada bersalah terhadap 14 pertuduhan melibatkan pecah amanah dan pengubahan wang haram berjumlah RM568,200 yang dilakukan sejak tiga tahun lalu.
Hakim Norma Ismail memerintahkan kesemua hukuman berjalan serentak bermula semalam, 22 Jun 2026.

Semasa rayuan, peguam bela Arik Zakri Abdul Kadir memaklumkan anak guamnya dipengaruhi bekas kekasih sehingga sanggup melakukan perbuatan tersebut
"Beliau dimanipulasi seorang bekas kekasih yang mana kesalahan dilakukan (adalah) untuk menampung gaya hidup (lelaki itu) sehingga dapat membeli kenderaan dan sebagainya.
"Untuk makluman, tertuduh sebelum ini telah berkhidmat selama hampir lapan tahun sebagai juruwang di tempat kejadian. Beliau merupakan seorang pekerja yang berdedikasi jadi kesalahan ini adalah satu penyimpangan luar biasa.
"Jadi di sini, saya merayu hukuman paling minimum diberikan kepada tertuduh. Tertuduh juga pesalah pertama selain ibunya yang dimasukkan ke hospital Selasa lalu kerana serangan angin ahmar," katanya.
Berdasarkan pertuduhan, Nur Atiqah yang bekerja di sebuah pasar raya di Kepong didakwa menyalahgunakan mesin terminal pin Touch 'n Go milik syarikat dengan mengeluarkan nilai tambah bernilai RM98,800 sebelum ditebus ke dalam akaun TnG eWallet miliknya sendiri

Perbuatan itu dilakukan antara Januari 2023 hingga Julai 2024. Selain itu, dia turut berdepan 12 pertuduhan pengubahan wang haram selepas didakwa memindahkan wang hasil aktiviti tersebut berjumlah RM469,400 ke akaun bank miliknya serta beberapa akaun TnG eWallet milik ahli keluarganya.
Menurut pihak pendakwaan, perbuatan itu bukan dilakukan sekali, sebaliknya berlaku secara berterusan selama hampir dua tahun.
"Perbuatan tertuduh bukan sahaja melibatkan kerugian terhadap syarikat, namun ia juga dilakukan secara terancang yang mana terdapat transaksi selama dua tahun dan bukanlah secara kesalahan satu kali ataupun one-off.
"Oleh itu, ini bukanlah suatu kesilapan sesaat malahan merupakan satu siri pengkhianatan amanah yang sistemik," kata Timbalan Pendakwa Raya, Batrisyia Mohd. Khusri.
Kegiatan itu terbongkar selepas pengurus pasar raya berkenaan mengesyaki wanita terbabit mengambil sebuah mesin terminal e-pay tanpa kebenaran.
Semakan lanjut mendapati peranti tersebut digunakan untuk melakukan tambah nilai Touch 'n Go eWallet bagi kegunaan peribadi sejak Ogos 2022 hingga Julai 2024, menyebabkan jumlah keseluruhan kerugian mencecah RM568,200.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



Cover image via