Ibu Bawa Anak Kurang Upaya Ketika Jadi ‘Rider’ Hantar Makanan – ‘Saya Tiada Pilihan’
Difahamkan, dia juga menghadapi masalah untuk mencari pengasuh yang sesuai buat anaknya.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Setiap hari bekerja, Azimah Abd Rahim akan membawa anaknya bersama-sama untuk membuat penghantaran makanan
Menurut laporan dari New Straits Times, dia sebenarnya telah cuba untuk meninggalkan anaknya kepada pengasuh untuk menjaga anak tetapi setiap kali dihantar pasti akan berlaku kes penganiayaan kepada anaknya.
Perkara ini membuatkan dia trauma dan sejak itu dia hanya membawa anaknya ke mana-mana ketika menjadi rider walaupun dicemuh oleh orang yang tidak dikenali.
Beberapa tahun lepas, Azimah sebenarnya telah viral setelah satu video menunjukkan dia menggendong anaknya sambil menjadi rider penghantar makanan.
Berdasarkan temu bual daripada Utusan Malaysia yang terdahulu, Azimah menghantar anaknya ke Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Malaysia (SBM) pada pukul 10 pagi setiap hari untuk tetapi dan mengambil anaknya pada pukul 12 sebelum meneruskan kerja rider bersama anaknya.
"Saya akan membuat lebih kurang 25-30 penghantaran setiap hari. Ketika itu, Nur Ainul ada bersama saya," kata Azimah.

Pernah dimarahi dan dicemuh pelanggan ketika menghantar makanan
"Saya selalu dimarahi oleh pelanggan. Mereka bertanya, 'Awak ni kenapa? Tak sayang anak ke?' Banyak saya pekakkan telinga
"Ada satu pelanggan tu kata 'Kalau tak sayang anak, lebih baik mati je'," katanya ketika ditemu bual.
Azimah juga menghadapi masalah untuk mencari pengasuh yang sesuai kerana penjagaan anak kurang upaya bukanlah satu perkara yang mudah.
Anaknya, Nur Ainul Zahirah Rahidi, 8, kanak-kanak yang buta, autistik dan mempunyai kekurangan G6PD iaitu satu masalah genetik yang memerlukan anaknya untuk dipantau.

"Bukan saya tak nak bagi dekat pengasuh, dah 48 orang jaga dia, bila petang saya balik, saya tengok daripada bawah leher sampai kaki ada lebam," kata Azimah tersebak.
Apabila disoal, pengasuh mengatakan anaknya cuma terjatuh.
Menurut Azimah, apabila dibawa ke hospital, doktor mengatakan anaknya bukan cedera akibat terjatuh, tetapi kerana banyak kesan cubitan. Sejak itu dia bertekad menjaga anaknya sendiri.
Kekuatan seorang ibu untuk membina semula kehidupannya selepas perceraian
"Setelah bercerai, saya tiada duit atau kerja. Bekas suami saya ada bagi wang bulanan tetapi sangat sedikit kerana dia juga sakit. Jumlah itu sangat sedikit dan tidak cukup untuk kehidupan.
"Perbelanjaan saya bukan sahaja untuk makanan dan tempat tinggal. Saya memerlukan wang untuk persekolahan anak, terapi dan lawatan hospital." katanya lagi.
Dia mula bekerja sebagai seorang penghantar makanan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Covid-19 akibat bantuan yang lambat.
"Ketika itu Jabatan Kebajikan Masyarakat tidak datang untuk berbulan-bulan. Lampin, susu dan semua barang semakin habis. Saya tekad meminjam duit untuk berdaftar sebagai seorang rider," ujar Azimah.
Walaupun penat dan berbahaya, Azimah bersyukur dia kini dapat membeli makanan untuk dirinya dan anaknya sejak mula menjadi rider.
Pendapatan Azimah adalah diantara RM500 hingga RM700 sebulan disamping RM600 dari bantuan zakat
Dari hasil sebagai seorang rider, dia telah meraih RM500 hingga RM700 sebulan, termasuk bantuan zakat RM600. Semua wang ini digunakan untuk sewa, lawatan hospital, terapi dan perbelanjaan untuk keperluan.
Azimah percaya terdapat ramai lagi orang yang lebih susah daripadanya dan dia juga tidak mahu meminta bantuan daripada mana-mana. Dia mengharapkan kerajaan dapat melihat semula polisi, terutamanya buat ibu-ibu tunggal yang perlu membesarkan anak kurang upaya di samping memberikan bantuan perumahan buat mereka ini.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



Cover image via