KDNK: Nisbah Agihan Pendapatan Gaji Pekerja Tempatan Masih Berada Di Tahap Rendah
Difahamkan, separuh daripada pekerja sektor formal mempunyai pendapatan kurang dari RM3,200.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Nisbah gaji rakyat kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) di Malaysia masih di paras rendah
Gaji rakyat masih berada di sekita 34% berbanding kebanyakan negara maju yang mencatat nisbah lebih daripada 50%.
Menurut laporan dari Harian Metro, Pengerusi Bukan Eksekutif Sunway Berhad, Tan Sri Abdul Wahid Omar, mengatakan meskipun Malaysia tidak semestinya perlu mencapai nisbah setinggi negara maju bagi mengekalkan daya saing ekonomi, kadar sedia ada menunjukkan masih terdapat ruang besar untuk meningkatkan ganjaran kepada pekerja.
Nisbah gaji kepada KDNK ini adalah petunjuk makroekonomi yang digunakan untuk menilai bagaimana pertumbuhan ekonomi memberi manfaat kepada pekerja.
"Di kebanyakan negara maju, nisbah ini melebihi 50 peratus. Malaysia tidak semestinya perlu mencapai tahap itu kerana ia boleh menjejaskan daya saing negara.
"Namun, nisbah semasa sekitar 34 peratus masih dianggap rendah. Berdasarkan Laporan Statistik Gaji dan Upah Disember 2025 yang diterbitkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), terdapat kira-kira 7.08 juta pekerja dalam sektor formal, termasuk sekitar 1.35 juta penjawat awam," katanya.

Separuh daripada pekerja sektor formal mempunyai pendapatan kurang dari RM3,200
Menurut Abdul Wahid, gaji median bulanan hanya sekitar RM3,167. Ini bermakna separuh daripada pekerja sektor formalmemperoleh pendapatan RM3,167 atau kurang setiap bulan.
"Lebih membimbangkan, 10 peratus pekerja berpendapatan RM1,700 atau kurang, manakala 20 peratus lagi memperoleh RM1,780 atau kurang.
"Ini merupakan kadar pendapatan yang sangat rendah," katanya lagi.
Majikan perlu sedar bahawa pekerja adalah penyumbang utama kepada kejayaan sesebuah organisasi dan wajar diberikan ganjaran yang lebih adil.

"Terdapat negeri yang mencatatkan gaji median sekitar RM1,800 sebulan, sekaligus menunjukkan keperluan mendesak untuk menangani ketidakseimbangan pendapatan antara negeri.
"Bagi menangani isu ini, negara memerlukan strategi perindustrian yang lebih mantap bagi mewujudkan pekerjaan berkualiti tinggi serta melahirkan bakat yang memenuhi keperluan industri.
"Kedua, program peningkatan kemahiran dan latihan semula perlu diperkasakan secara lebih menyeluruh," tambah beliau.
Pelaksanaan dasar gaji minimum dan dasar gaji progresif juga perlu diteruskan secara berterusan dan sistem pendidikan tinggi perlu dioptimumkan.
Menurut beliau, graduan tidak sepatutnya menghabiskan masa tiga atau empat tahun di universiti hanya untuk bergaji sekitar RM2,000 sebulan.
Prestasi ekonomi setakat ini masih kekal memberangsangkan dengan pertumbuhan yang semakin meningkat.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



Cover image via