Mahkamah Beri Amaran Syarikat Insurans Jangan Lengahkan Bayaran Tuntutan Kemalangan Jalan Raya
Tuntutan ganti rugi yang sah patut diselesaikan segera tanpa kos perundangan yang berlebihan.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Syarikat insurans sepatutnya tidak boleh menggunakan prosiding mahkamah untuk melengah-lengahkan tuntutan kemalangan jalan raya
Menurut laporan daripada Harian Metro, kenyataan ini dibuat oleh Hakim Mahkamah Sesyen Saifullah Bhatti yang mengatakan mahkamah mesti menghalang proses kehakiman yang disalah guna terutamanya apabila defendan tidak mempunyai pembelaan sah terhadap tuntutan kemalangan berkenaan.
Syarikat insurans didapati menggunakan prosiding mahkamah bagi melengah-lengahkan tuntutan dan ada yang menekan mangsa supaya menerima ganti rugi lebih rendah.
Menurut beliau, litigasi berpanjangan boleh membebankan mangsa kemalangan dari segi kewangan atau menyebabkan usaha untuk menuntut ganti rugi tidak berbaloi.
"Mahkamah tidak boleh membenarkan penyalahgunaan proses kehakiman, termasuk situasi di mana syarikat insurans khususnya, menggunakan proses kehakiman untuk melengah-lengahkan saman.
"Ia sama ada untuk menyebabkan plaintif merasa bosan (dengan proses yang panjang), supaya bersetuju dengan penyelesaian lebih rendah, atau meningkatkan kos sehingga ke tahap di mana tuntutan itu jika diteruskan, tidak lagi memberi manfaat kepada plaintif," katanya.

Gambar sekadar hiasan.
Image via Harian MetroKes yang menjadi duluan kehakiman baru-baru ini akibat salah guna proses kehakiman
Beliau telah memerintahkan satu syarikat pengangkutan, 3S Teguh Transport Sdn Bhd dan pemandunya, Daniel Savarimuthu untuk membayar ganti rugi RM43,605.10 kepada ahli perniagaan Kathirrevan Suppiah di mana lorinya terbalik selepas melanggar tayar tercabut di Lebuhraya Utara Selatan.
Defendan telah diperintahkan untuk membayar kos berjumlah RM11,000 dua kali ganda daripada RM5,300 yang sepatunya dikenakan pada awalnya.
Hakim itu mengatakan keputusan ini adalah wajar kerana defendan melengah-lengahkan kes tanpa sebab munasabah walaupun tidak mempunyai bukti kukuh untuk mencabar tuntutan berkenaan.
"Sejak dari peringkat pliding (dokumen tuntutan saman) hingga ke perbicaraan kes, defendan tidak mempunyai pembelaan nyata terhadap tindakan ini.
"Pada penilaian saya, keseluruhan proses perbicaraan semata-mata untuk menangguhkan pembayaran tuntutan oleh defendan, atau menekan plaintif supaya berkemungkinan membatalkan tuntutannya," katanya.

Tayar lori yang tercabut dan mengena sebuah kereta dalam satu kejadian kemalangan empat tahun lepas.
Image via FacebookKejadian ini berlaku berikutan kemalangan di KM412.8 Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan pada jam 3.30 pagi 31 Julai 2024.
Lori yang dipandu oleh pekerja Kathirrevan, Muhammad Ilias Abu Hasan sedang membawa bekalan perubatan dari Pulau Pinang ke Kuala Lumpur dan telah melanggar tayar yang tercabut daripada lori defendan yang diletakkan di lorong kecemasan.
Perlanggaran ini telah menyebabkan lori Kathirrevan terbalik dan muatannya juga rosak.
Tuntutan kemalangan jalan raya secara umumnya sepatutnya diselesaikan tanpa melalui perbicaraan penuh, melainkan terdapat pertikaian sah mengenai liabiliti atau ganti rugi.
Beliau menambah, syarikat insurans mempunyai sumber kewangan dan perundangan yang besar. Kes lalu lintas jalan raya sepatutnya melindungi mangsa kemalangan dan tuntutan ganti rugi yang sah patut diselesaikan segera tanpa kos perundangan yang berlebihan.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



Cover image via