Nurjilya Akhirnya Dijumpai Selepas Hilang Sejak Ahad, Dipercayai Dibunuh
Difahamkan, pengecaman identiti dibuat oleh ibu mangsa berdasarkan pakaian yang dipakai ketika dilaporkan hilang.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Seorang kanak-kanak perempuan berumur 10 tahun yang telah hilang sejak Ahad dijumpai sudah meninggal dunia
Mayat Nurjilya Abdullah, 10, ditemukan dalam keadaan sudah mereput sehingga bahagian kepala dan mukanya tidak lagi dapat dicam.
Lebih memilukan, mayat mangsa ditemui di kawasan cerun semak berhampiran sebuah rumah di Kampung Numbak, Sepanggar, Kota Kinabalu.
Menurut laporan dari Harian Metro, polis juga telah menahan dua lelaki berusia 39 dan 42 tahun bagi membantu siasatan kes.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan Syed Lot Syed Abdul Rahman mengatakan sepasukan polis bersama Unit Forensik telah ke lokasi sebaik menerima maklumat mengenai penemuan mayat mangsa jam 10.38 malam.

Siasatan diteruskan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh
Hasil bedah siasat mendapati punca kematian adalah daripada kecederaan pada bahagian muka dan belakang kepala akibat hentakan objek keras dan tumpul.
"Hasil pemeriksaan awal di lokasi oleh pasukan forensik mendapati mayat mangsa sudah mereput.
"Pengecaman identiti dibuat oleh ibu mangsa berdasarkan pakaian yang dipakai oleh mangsa ketika dilaporkan hilang.
"Hasil bedah siasat yang dijalankan mendapati punca kematian dipercayai berpunca daripada kecederaan pada bahagian muka dan belakang kepala yang disyaki akibat hentakan menggunakan objek keras dan tumpul," katanya.
Polis juga telah menahan dua lelaki bagi membantu siasatan dan mereka akan dibawa ke mahkamah untuk permohonan reman.
Setakat ini motif kejadian masih dalam siasatan dan pihak polis sedang melengkapkan siasatan termasuk mendapatkan keterangan saksi.
"Mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Asisten Superintendan Polis La Paula Abd Muis di talian 013-5149490 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran.
"Siasatan diteruskan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh," katanya lagi.
Untuk rekod, Nurjilya telah dilaporkan hilang selepas keluar dari rumah keluarganya pada 13 Julai lalu sebelum Polis Daerah Kota Kinabalu mengeluarkan hebahan orang hilang bagi mencarinya.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



Cover image via