Pas MyKomuter50 Tawar Penjimatan Tambang Hingga 88%, Pengaktifan Bermula 16 November Ini
Pada harga RM50, pengguna yang layak boleh menikmati perjalanan tanpa had selama 30 hari bagi perkhidmatan terpilih.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Orang ramai boleh mula mengaktifkan Pas MyKomuter50 bermula 16 November ini sebagai persediaan untuk menikmati penjimatan tambang perjalanan harian menerusi perkhidmatan KTM Komuter apabila pas berkenaan mula berkuat kuasa secara rasmi pada 1 Disember 2026
Inisiatif di bawah Kerajaan MADANI ini diperkenalkan bagi meringankan beban kos sara hidup rakyat melalui penyediaan akses pengangkutan awam yang lebih mampu milik.
Pada harga RM50, pengguna yang layak boleh menikmati perjalanan tanpa had selama 30 hari bagi perkhidmatan terpilih, sekali gus mengurangkan perbelanjaan harian golongan bekerja serta pelajar yang berulang-alik ke tempat kerja dan institusi pendidikan.

Menerusi penawaran ini, pengguna bagi laluan Tanjung Malim–KL Sentral yang lazimnya membelanjakan sekitar RM416 sebulan hanya perlu membayar RM50, iaitu penjimatan sebanyak RM366 atau hampir 88 peratus.
Bagi pengguna sektor utara di laluan Alor Setar–Butterworth pula, mereka berpeluang menjimatkan sehingga RM234 atau kira-kira 82 peratus berbanding anggaran tambang biasa sebanyak RM284 bagi tempoh yang sama.
Pas MyKomuter50 terbuka kepada semua warganegara Malaysia berumur tujuh tahun ke atas yang bukan merupakan pemegang Pas MyRailLife, dengan hanya mengemukakan MyKad atau MyKid bagi tujuan pengesahan kelayakan sebelum membuat pembelian.
Cara pengaktifan Pas MYkomuter50 boleh dibuat melalui:
- Aplikasi KTM Mobile atau KITS Style – Muat naik salinan MyKad atau MyKid untuk pengesahan. Kelulusan mengambil masa sehingga tiga (3) hari bekerja.
- Mesin kios tiket di semua stesen KTM Komuter – Masukkan MyKad atau MyKid ke dalam slot pengimbas untuk pengesahan. Kelulusan diberikan serta-merta.
- Kaunter stesen KTM Komuter – Kemukakan MyKad atau MyKid asal kepada kakitangan stesen untuk pengesahan. Kelulusan diberikan serta-merta.
ㅤ
Setelah pengesahan diluluskan, pembelian pas boleh dibuat secara digital menerusi aplikasi KTM Mobile dan KITS Style atau melalui pembelian Kad Komuter Link di kaunter.
Kemudahan pengaktifan serta pembelian kad ini tersedia di 34 stesen terpilih seluruh negara, disokong oleh 11 kaunter pendaftaran tambahan (stesen bertanda*) bagi melancarkan urusan orang ramai.


Senarai 34 Stesen Terpilih:
- 10 Stesen KTM Komuter Utara: Padang Besar, Arau*, Alor Setar, Sungai Petani*, Tasik Gelugor, Bukit Mertajam*, Parit Buntar, Taiping, Kuala Kangsar dan Ipoh*.
- 20 Stesen KTM Komuter Lembah Klang: Tanjung Malim, Rawang*, Sungai Buloh, Kepong Sentral, Segambut Utara, Bank Negara, KL Sentral*, Bandar Tasek Selatan*, Kajang, UKM, Batang Benar, Nilai, Seremban*, Sungai Gadut, Tampin/Pulau Sebang, Abdullah Hukum, Subang Jaya*, Shah Alam, Klang dan Batu Caves.
- 4 Stesen Perkhidmatan Shuttle Selatan: Paloh, Kluang*, Kempas Baru dan JB Sentral*.
ㅤ
Pas MyKomuter50 ditawarkan pada harga RM50 bagi setiap jenis perkhidmatan:
- MyKomuter50 Utara: Laluan Padang Besar – Butterworth dan Butterworth – Ipoh.
- MyKomuter50 Lembah Klang: Laluan Tanjung Malim – Pelabuhan Klang dan Batu Caves – Pulau Sebang/Tampin.
- MyKomuter50 Shuttle Selatan: Laluan Paloh – JB Sentral dan Kempas Baru – Pasir Gudang.
ㅤ
KTMB menggalakkan orang ramai untuk melengkapkan proses pengesahan kelayakan, pengaktifan dan pembelian Pas MyKomuter50 pada hari yang sama bagi memastikan urusan mendapatkan pas berjalan dengan lebih lancar dan mudah.
Untuk maklumat lanjut, layari https://www.ktmb.com.my atau hubungi Pusat Panggilan KTMB di 03-9779 1200 atau rujuk media sosial rasmi KTMB untuk perkembangan dari semasa ke semasa.

Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



Cover image via