Penyokong Naik Angin, Bekas Jurulatih Dilarang Masuk Premis Selepas Korea Selatan Tersingkir Dari Piala Dunia
Difahamkan, Hong mengumumkan peletakan jawatannya sehari selepas Korea Selatan tersingkir daripada kejohanan.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Kekalahan memalukan Korea Selatan di pentas Piala Dunia bukan sahaja menamatkan perjalanan pasukan itu, malah turut menjadikan bekas ketua jurulatihnya, Hong Myung Bo, sebagai sasaran kemarahan penyokong
Menurut laporan Berita Harian, selepas skuad Taegeuk Warriors tersingkir di peringkat kumpulan, beberapa premis perniagaan dilaporkan bertindak luar biasa dengan memaparkan papan tanda melarang Hong memasuki premis mereka.

Gambar papan tanda tersebut tular di media sosial selepas dikongsikan pengguna di Reddit, sekali gus mencetuskan pelbagai reaksi netizen yang menganggap tindakan itu menggambarkan betapa kecewanya rakyat Korea Selatan terhadap prestasi pasukan kebangsaan.
Hong mengumumkan peletakan jawatannya sehari selepas Korea Selatan tersingkir daripada kejohanan, susulan kekalahan kepada Afrika Selatan yang menutup peluang mereka untuk mara ke pusingan seterusnya.

Bekas jurulatih Korea Selatan, Hong Myung Bo.
Image via BBCDalam kenyataannya, beliau mengakui sentiasa mempersoalkan setiap keputusan yang dibuat sepanjang dua tahun mengendalikan pasukan
"Sepanjang dua tahun lalu saya sentiasa bertanya kepada diri sendiri setiap kali perlu membuat keputusan penting, memilih pemain atau menyediakan sesi latihan dan perlawanan, adakah ini pilihan yang tepat untuk bola sepak Korea?
"Saya tidak boleh mengatakan setiap keputusan yang dibuat adalah tepat, tetapi saya boleh katakan semuanya dilakukan demi kepentingan bola sepak Korea," katanya.
Sebelum peletakan jawatan itu diumumkan, Presiden Korea Selatan, Lee Jae Myung, turut meluahkan rasa kecewa terhadap prestasi pasukan dan menyalahkan pelantikan individu yang disifatkannya tidak kompeten.
Menurut beliau, kegagalan itu berlaku apabila kepentingan kelompok mengatasi kecekapan dalam menentukan kepimpinan.
"Saya memohon maaf sedalam-dalamnya kepada rakyat atas kekecewaan besar yang berpunca daripada keputusan yang tidak boleh diterima ini.
"Kami akan segera melaksanakan reformasi dalam pentadbiran sukan bagi memastikan perkara seperti ini tidak berulang," katanya.

Korea Selatan menamatkan kempen Piala Dunia di tangga ketiga Kumpulan A selepas tewas kepada Afrika Selatan dan Mexico, meskipun membuka saingan dengan kemenangan ke atas Czechia.
Kegagalan itu mencetuskan kemarahan besar dalam kalangan penyokong sehingga ada yang bertindak memulaukan Hong, menjadikannya antara individu paling dikritik di negara itu ketika ini.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



Cover image via