Sewa RM200 Sebulan, Bumbung Bangunan Diubah Jadi Puluhan Bilik Haram
Lebih mengejutkan, laluan menuju ke kawasan berkenaan dikawal rapi dengan kamera litar tertutup (CCTV).
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Taktik licik pemilik bangunan mengubah suai ruang bumbung menjadi puluhan bilik sewa haram akhirnya terbongkar apabila diserbu dalam satu operasi bersepadu
Lebih mengejutkan, bilik bersaiz kira-kira 6×4 kaki persegi yang dibina menggunakan papan lapis bukan sahaja dijadikan tempat tidur, malah turut digunakan sebagai ruang memasak, sekali gus mencetuskan kebimbangan risiko kebakaran yang boleh meragut nyawa pada bila-bila masa.
Menurut laporan Berita Harian, operasi dikenali sebagai Op Sarang Burung itu dilaksanakan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Serbuan bermula sekitar jam 10 pagi di tiga bangunan sekitar Jalan Tun H S Lee mendedahkan kewujudan binaan haram di ruang bumbung bangunan tiga dan empat tingkat yang dipercayai telah lama beroperasi.

Lebih mengejutkan, laluan menuju ke kawasan berkenaan dikawal rapi dengan kamera litar tertutup (CCTV), manakala akses masuk pula melalui lorong gelap yang dipasang pintu jeriji besi berkunci bagi menghalang orang luar menghampiri kawasan tersebut
Pengarah Bahagian Keselamatan Kebakaran JBPM, Datuk Norazam Khamis berkata, pemeriksaan mendapati ruang bumbung itu bukan sahaja dipenuhi bilik-bilik kecil, malah turut dilengkapi kemudahan tandas.
Menurutnya, sebanyak 27 unit bilik dikesan dibina di tiga premis terbabit dan disewakan kepada warga asing dengan kadar antara RM200 hingga RM400 sebulan, bergantung kepada keluasan bilik.
"Ini satu perangkap maut. Struktur dibina menggunakan bahan mudah terbakar seperti papan lapis dan kayu, manakala penghuni pula memasak di dalam bilik. Risiko kebakaran amat tinggi," katanya.
Turut hadir ialah Pengarah JBPM Kuala Lumpur, Hassan 'As'ari Omar.


Norazam berkata, siasatan awal mendapati pengubahsuaian dilakukan tanpa sebarang kelulusan DBKL dan dipercayai dikendalikan oleh individu yang bertindak sebagai penyelia di setiap premis
Susulan penemuan itu, JBPM mengambil tindakan menyita ketiga-tiga premis di bawah Operasi Menghapus Bahaya Kebakaran (MBK) bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.
Pemilik premis turut diberikan notis serta tempoh tujuh hari untuk merobohkan semua struktur haram berkenaan. Sekiranya gagal mematuhi arahan, DBKL akan melaksanakan kerja-kerja perobohan.
Norazam menegaskan pengubahsuaian tanpa kelulusan yang mengabaikan aspek keselamatan kebakaran bukan sahaja melanggar undang-undang, malah boleh menyebabkan penghuni terperangkap, menyukarkan operasi menyelamat dan meningkatkan risiko kehilangan nyawa jika berlaku kebakaran.
Kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Perkhidmatan Bomba 1988 (Akta 341).
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



Cover image via