Smart Lane Terbukti Berkesan, Kesesakan Lebuh Raya Susut Hingga 50% – LLM
Difahamkan, sepanjang tempoh Januari hingga Mei tahun ini, hanya 36 kemalangan direkodkan.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Pelaksanaan Smart Lane di beberapa jajaran Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) terus menunjukkan impak positif apabila berjaya mengurangkan kesesakan trafik sehingga 50 peratus, sekali gus mempercepatkan perjalanan pengguna terutama pada waktu puncak dan musim perayaan

Menurut laporan Kosmo!, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi memaklumkan, berdasarkan pemantauan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), inisiatif yang diperkenalkan sejak 2023 itu berjaya mengurangkan kesesakan antara 30 hingga 50 peratus, selain mencatatkan kadar kemalangan yang rendah di lokasi Smart Lane.
Difahamkan, sepanjang tempoh Januari hingga Mei tahun ini, hanya 36 kemalangan direkodkan di 12 lokasi Smart Lane pada hari bekerja, dengan jumlah kemalangan melibatkan penunggang motosikal juga lebih rendah berbanding laluan biasa.
"Smart Lane bukan sahaja membantu melancarkan aliran trafik ketika waktu sibuk dan musim perayaan, malah setiap pelaksanaannya melalui penilaian teknikal yang ketat bagi memastikan keselamatan semua pengguna jalan raya," katanya.
Beliau menjawab soalan mengenai justifikasi pelaksanaan Smart Lane, khususnya berkaitan aspek keselamatan dan keselesaan penunggang motosikal.
Punca kemalangan bukan disebabkan Smart Lane

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi
Image via Kosmo!Menurut Alexander Nanta, analisis LLM mendapati kebanyakan kemalangan yang berlaku bukan berpunca daripada sistem Smart Lane itu sendiri, sebaliknya akibat sikap pengguna jalan raya yang gagal mematuhi peraturan.
Antara kesalahan yang sering dikenal pasti termasuk menggunakan lorong kecemasan di luar waktu operasi Smart Lane, menukar lorong secara berbahaya serta memberhentikan kenderaan tanpa sebab kecemasan.
Bagi memastikan tahap keselamatan terus terjamin, LLM mewajibkan setiap syarikat konsesi melantik juruaudit keselamatan jalan raya bebas untuk menjalankan audit keselamatan sekurang-kurangnya sekali setiap lima tahun, termasuk menilai keberkesanan pelaksanaan Smart Lane.
Dalam masa sama, Kementerian Kerja Raya bersama LLM kini memperluaskan penggunaan kamera litar tertutup (CCTV) yang dilengkapi teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi memantau kepadatan trafik secara masa nyata.
Langkah itu dijangka membolehkan pengurusan aliran trafik dilakukan dengan lebih pantas dan efisien, sekali gus membantu mengurangkan kesesakan di lebuh raya utama negara.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



Cover image via