Wanita Maut Ketika ‘Fundive’ Di Tioman, Terpisah Dari Kumpulan Di Kedalaman 17.6M
Mangsa dipercayai terpisah daripada kumpulan sebelum kehilangan jejak.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Aktiviti selaman rekreasi atau fundive di Pulau Tioman bertukar tragedi apabila seorang wanita berusia 31 tahun ditemukan meninggal dunia selepas dipercayai terpisah daripada kumpulannya ketika berada di dasar laut
Menurut laporan Sinar Harian, Ketua Polis Daerah Rompin, Superintenden Sharif Shai Sharif Mondoi berkata mangsa, Heng Jing Ying, menyertai program Aware Coral bersama beberapa rakan di sebuah pusat aktiviti selaman di Kampung Genting pada 17 hingga 18 Julai.
Pada hari kejadian, mangsa bersama sembilan peserta lain diiringi dua orang instruktur menjalankan aktiviti selaman di kawasan Seafan, Batu Malang, Pulau Tulai.
Difahamkan, setiap peserta telah diberikan taklimat keselamatan serta penerangan mengenai penggunaan peralatan selaman sebelum aktiviti bermula, walaupun kesemuanya memiliki lesen menyelam.
Bagaimanapun, ketika berada pada kedalaman kira-kira 17.6 meter, mangsa dipercayai terpisah daripada kumpulan sebelum kehilangan jejak.
Instruktur kemudiannya segera menjalankan operasi pencarian di kawasan selaman.

Ditemui selepas hampir 30 minit mencari
Selepas hampir setengah jam mencari, mangsa akhirnya ditemukan terbaring di dasar berpasir tidak jauh dari lokasi asal selaman.
Mangsa dibawa naik ke bot dan diberikan bantuan pernafasan kecemasan sebelum dikejarkan ke Klinik Kampung Tekek. Namun, dia disahkan meninggal dunia sebaik tiba di pusat rawatan.
Mayat mangsa kemudian dihantar ke Unit Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan untuk bedah siasat.
Tiada unsur jenayah dikesan
Hasil bedah siasat mendapati punca kematian adalah akibat gelembung gas atau udara memasuki saluran darah arteri (arterial gas embolism).
Polis memaklumkan siasatan awal tidak menemui sebarang unsur jenayah dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. Walaupun begitu, siasatan masih diteruskan bagi mengenal pasti sama ada terdapat sebarang kecuaian atau masalah teknikal yang menyumbang kepada kejadian tersebut.
Susulan insiden itu, orang ramai yang terlibat dalam aktiviti rekreasi air atau sukan ekstrem diingatkan supaya sentiasa mematuhi prosedur keselamatan, menggunakan peralatan yang sesuai serta mendapatkan khidmat pengendali yang bertauliah bagi mengurangkan risiko kemalangan.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



Cover image via