Game Kad ‘Nak Makan Apa?’ Ni Akan Decide Menu Makan Korang Dengan Kawan Tanpa Perlu Gaduh!
Setiap pemain perlu bersaing di antara satu sama lain untuk menjadi yang pertama berjaya memesan menu-menu yang menepati selera makannya. Nyum!
Nak makan mana? Nak makan apa?
Tidak dapat dinafikan, dua soalan ini adalah antara soalan yang paling kerap kita dengar daripada kawan-kawan kita, takpun dari ahli keluarga kita.
Kadang-kadang kita sendiri pun boleh jadi tukang tanya. Tak kisahlah kita ini 'penanya' atau yang 'ditanya', soalan ini tetap antara soalan yang paling susah untuk dapat jawapan.
Masalah nak makan mana dan nak makan apa ini selalu menjadi isu dan tanda tanya. Padahal sebenarnya banyak kedai makan atau restoran di sekeliling kita.
Kadang sampai boleh bawa gaduh hanya kerana nak selesaikan masalah ini punya pasal. Susah tak susah?
Tapi daripada asyik tertanya-tanya soalan itu, apa kata kali ini anda dapatkan jawapan yang anda inginkan dengan bermain kad 'Nak Makan Apa?'
Nak Makan Apa? merupakan permainan kad yang memerlukan di antara 2 hingga 10 orang pemain yang kompetitif. Setiap pemain akan memegang karakter atau watak yang mempunyai seleranya tersendiri.
Pemain-pemain ini perlu bersaing di antara satu sama lain untuk menjadi pemain yang pertama berjaya memesan menu-menu yang menepati selera makannya. Nyum!
Bagaimana cara bermain kad 'Nak Makan Apa?' ini?
Cara bermain kad permainan ini bukan sahaja mudah tapi turut mempunyai eleman riuh rendah. Ianya juga sangat sesuai untuk sesi yang singkat. Main satu round sahaja pun sudah cukup!
Seperti yang dikatakan tadi, kad permainan Nak Makan Apa? ini boleh dimain seramai 2 hingga 10 orang.
Matlamatnya adalah untuk menjadi yang pertama berjaya mendapatkan markah menu sebanyak 4 markah apabila 'kad selera' yang dipegang pemain itu melengkapi mana-mana 'kad menu'.
Setiap giliran, pemain wajib meletakkan 1 'kad selera' dihadapan. Apabila 'kad selera' yang diletakkan itu melengkapi salah satu 'kad menu', pemain itu dikira meng-order menu tersebut.
Jika tiada yang melengkapkan apa-apa 'kad menu', 'kad selera' itu tinggal dimeja untuk pemain-pemain lain merebut peluang bagi melengkapkan menu mereka.
Tapi harus berjaga-jaga! Ini kerana pemain lain buat kacau dengan menggunakan 'kad songeh' yang boleh merosakkan plan anda untuk membuat pesanan menu.
Kalau ingin tahu cara permainan kad Nak Makan Apa? ini dengan lebih detail, boleh baca di sini.
So, apa lagi? Ayuh basuh tangan, atau ambil sudu dan garfu buat yang tidak mahu tangan berbau kuah. Masa untuk order makan dalam... Nak Makan Apa?
Untuk makluman, 'Nak Makan Apa?' ini adalah hasil buah fikiran dua orang sahabat, Haireey dan Zamri, yang juga merupakan pencipta permainan kad Drama Pukul 7
Sama seperti Drama Pukul 7, permainan kad Nak Makan Apa? ini telah menjalani pelbagai proses kreatif dan inovatif serta mempunyai elemen tempatan di dalamnya, disesuaikan untuk pemain tempatan.
Demi mengelak daripada terikat dengan apa sahaja peraturan yang mungkin ditetapkan oleh syarikat pengeluar, Haireey dan Zamri telah menubuhkan syarikat Meja Belakang Art yang bergerak secara independent.
Disebabkan itu, kedua-dua sahabat ini telah memulakan kempen bagi mengumpul dana berjumlah RM10 ribu yang boleh membantu mereka mencipta lebih banyak permainan yang dapat disesuaikan dengan gaya hidup rakyat Malaysia.
Kempen tersebut akan diadakan selama sebulan lebih, bermula pada 4 Mac dan akan berakhir pada 15 April
Derma boleh dilakukan dalam jumlah RM10, 45, 55, 95, 105, dan 150 di mana nilai derma berbeza melayakkan penderma menerima barangan khas atau merchandise daripada permainan kad Nak Makan Apa?.
Paling best sekali, sekiranya menderma RM55 dan keatas, penderma akan mendapat sekali Game Set Nak Makan Apa?, dan untuk nilai RM150, penderma akan mendapat ekslusif custom-made kad Producer!
Meskipun sedar bahawa sasaran yang ditetapkan mereka mungkin tinggi, namun ciri yang terdapat pada laman crowdfunding MyStartr Fleksibel Funding membolehkan Haireey dan Zamri menerima sebarang koleksi dari kempen walaupun gagal mencapai sasaran RM10 ribu.
Oleh itu, usah khuatir kerana mereka masih diwajibkan untuk memberi ganjaran kepada para penderma yang support kempen ini!
Menarik, bukan?
Apa lagi? Boleh derma di link ini: myStartr 'Nak Makan Apa?'