seismik

Wanita Sekalian, Carilah Pasangan Sekufu, Termasuk Yang Mampu Beli Coli Terbaik Untuk Anda

Sekufu bukan sahaja dinilai dari aspek kedudukan, harta kekayaan dan pendidikan bahkan sama padan dalam sudut agama, paras rupa, tahap kesihatan dan corak pemikiran.

Cover image via Google

Sebelum ini telah tular di laman media apabila seorang suami mengadu tentang sikap isterinya yang tidak pandai menjaga penampilan dirinya di laman Facebook Kisah Rumah Tangga

Perkongsian individu terbabit yang tidak didedahkan identitinya itu menyatakan bahawa dia kesal isterinya tidak pandai bergaya seperti isteri rakan-rakannya yang lain.

Individu itu juga mendakwa isterinya tidak pandai berjimat cermat dan sering menghabiskan duit belanja yang diberikan setiap bulan.

Luahan hati individu terbabit telah menjadi bualan hangat di kalangan netizen yang mana rata-rata memberi pendapat masing-masing tentang isu itu. Salah satu pengguna Facebook yang turut sama menyampaikan pendapatnya adalah Muhammad Hassan.

Walau bagaimanapun isu itu tidak terhenti di situ sahaja bahkan telah pun menular di laman sosial Twitter

Kini, ramai pengguna Twitter menyatakan pendapat dan pandangan masing-masing ekoran isu tersebut. Sudah menjadi lumrah, dalam sesuatu isu itu pasti akan ada yang menyokong dan akan ada juga yang membantah walaupun pada dasarnya setiap orang berhak untuk mempunyai pandangan yang berbeza-beza tentang sesuatu perkara atau isu.

Tweet yang dimulakan oleh @AikaG tentang apa yang dipelajarinya ketika di kursus kahwin telah dibidas oleh @IfaAlyaaSalmzi lalu bersambung menjadi satu thread yang membicarakan tentang kepentingan mencari pasangan yang sekufu.

Image via Twitter @AikaG

Bicara tentang mencari pasangan yang sekufu ini sebenarnya adalah dituntut dalam agama Islam itu sendiri walaupun ianya bukanlah sesuatu perkara yang wajib

Kufu atau kafa’ah dari sudut bahasa bermaksud kesepadanan, setaraf atau sama. Dari sudut istilah pula kufu bermaksud kesepadanan calon suami dan calon isteri yang akan berkahwin bagi membina sebuah rumah tangga.

Dalam salah satu hadis daripada Rasulullah SAW yang menyebut tentang sekufu ialah hadis yang diriwayatkan oleh Tirmidzi yang bermaksud;

Image via SAYS

Berdasarkan hadis ini, mencari pasangan yang sekufu itu perlu walaupun pada dasarnya ia tidak termasuk dalam rukun pernikahan tetapi bagi memberi keselesaan dan keharmonian di dalam rumah tangga, maka ia adalah diperlukan.

Kafaah merupakan antara hak seorang perempuan serta walinya. Seorang wali tidak boleh menikahkan anak perempuannya dengan lelaki yang tidak sekufu dengannya yang mana jika seorang perempuan itu meminta kepada walinya agar dinikahkan dengan lelaki yang tidak sekufu, wali mempunyai hak untuk tidak menunaikan hajat tersebut.

Image via Islam Itu Indah

Kesepadanan ini bukan sahaja dinilai dari aspek kedudukan, harta kekayaan dan pendidikan bahkan kesamaan atau sefahaman dalam agama, paras rupa, tahap kesihatan dan corak pemikiran turut diambil kira

Perbezaan yang terlalu banyak dan ketara di antara pasangan suami dengan isteri dalam pelbagai perkara hanya akan menimbulkan berbagai-bagai masalah untuk meneruskan kehidupan berkeluarga yang akan dibina kelak.

Situasi ini jarang berlaku sekiranya seorang lelaki itu mengambil seorang isteri yang kedudukannya lebih rendah dari lelaki tersebut, maka biasanya tidak menimbulkan sebarang masalah kemudian hari.

Berlainan pula seandainya seorang isteri bersuamikan seorang lelaki yang jauh lebih rendah daripadanya dalam semua perkara. Hal ini berkemungkinan akan menimbulkan masalah besar seperti suami akan berasa rendah diri terhadap isterinya.

Namun begitu, sekufu bukanlah syarat wajib dalam sesuatu perkahwinan. Sekiranya persetujuan antara pengantin perempuan dan walinya telah dicapai maka perkahwinan itu dihukumkan sah meskipun tidak sekufu antara bakal suami.

Image via iKahwin

Justeru itu, bagi perempuan yang berhadapan dengan fenomena berkahwin dengan lelaki yang tidak sekufu dengannya haruslah benar-benar tabah dan redha dalam ketentuan ini. Tepuk dada, tanya selera. Jika perempuan itu berasa mampu untuk melakukannya, maka teruskan. Jika tidak, maka elakkannya.

Tiada guna menerima jodoh tersebut tetapi akhirnya berdosa terhadap suami kerana tidak berdaya untuk melakukan tanggungjawab sebagai seorang isteri yang hormat dan taat pada suaminya.

LIKE Facebook dan follow Twitter SAYS SEISMIK dan temui segala cerita mesti kongsi sekarang!

Lagi artikel menarik di SAYS Seismik:

You may be interested in: