seismik

Terima Kasih Hiburkan Kami: Dalam Kenangan, Ini 10 Pelawak Yang Telah Pergi Buat Selamanya

Al-Fatihah buat mereka semua.

Cover image via ohbulanofficial , kisah dunia , budiey.com , Her inspirasi

Tanpa kita sedari, seorang demi seorang pelawak tanah air telah pergi meninggalkan kita buat selama-lamanya

Bekerja sebagai pelawak mungkin kelihatan mudah, namun ia tidaklah seperti yang disangka oleh kita. Kadang-kala, jenaka yang cuba disampaikan oleh para pelawak ini boleh diterima masyarakat, malah tidak kurang ada juga yang tidak menyenangi lawak yang dibuat oleh mereka.

Selepas sering keluar di ruang kaca televisyen dan menghiburkan ramai orang, sudah tentulah ketiadaan mereka ini dirasai tatkala mereka sudah tiada lagi di dunia ini. 

Justeru di sini, kami senaraikan 10 pelawak negara ini yang telah pergi meninggalkan kita buat selama-lamanya.

1. Din Beramboi (2 April 2010)

Image via Denaihati.com

Din Beramboi atau nama sebenarnya Mior Ahmad Fuad Mior Badri telah disahkan meninggal dunia pada 2 April 2010 akibat demam denggi berdarah sehingga menyebabkan hati dan buah pinggangnya gagal berfungsi.

Allahyarham yang juga merupakan seorang penyampai radio ketika itu telah meninggalkan seorang balu dan tiga orang anak.

2. Zami Ismail (19 Jun 2011)

Sesiapa yang menonton sitkom popular suatu ketika dahulu iaitu Pi Mai Pi Mai Tang Tu pastinya mengenali watak Pak Uda yang dilakonkan oleh Zami Ismail.

Allahyarham Zami telah menghembuskan nafas terakhirnya pada 19 Jun 2011 di usia 67 tahun selepas seminggu dimasukkan ke IJN ekoran masalah jantung.

3. Harun Salim Bachik (8 Mac 2015)

Image via Berita Harian

Pelakon serta pelawak veteran, Harun Salim Bachik telah menghembuskan nafas terakhirnya pada 8 Mac 2015 selepas secara tiba-tiba rebah di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Gunung Semanggol di Bukit Merah, Perak.

Allahyarham meninggalkan isteri, Hanizan Ibrahim serta sembilan orang anak.

4. Yus Jambu (30 November 2015)

Yus atau nama sebenarnya Yussry Edoo meninggal dunia di usia 39 tahun akibat sesak nafas.

Untuk rekod, beliau mula menceburi bidang seni pada tahun 2001 selepas menyertai pertandingan Sinaran Pasport Kegemilangan anjuran sebuah stesen televisyen.

5. Mr Os (8 April 2016)

Image via Astro Awani

Pelawak terkenal era 80an dan 90an, Mohd Yusof Abdul Hamid atau lebih dikenali sebagai Mr Os disahkan meninggal dunia pada 8 April 2016 di usia 55 tahun akibat jangkitan paru-paru.

Arwah dilaporkan telah meninggal dunia di Hospital Selayang dan sempat berpesan kepada anak-anaknya agar sentiasa ingat kepada Allah dan menutup aurat. 

6. Pak Piee (11 Ogos 2016)

Image via Astro Awani

Terkenal dalam lakonan filem Mami Jarum, Pak Piee atau nama sebenarnya Shafiee Jaafar telah menghembuskan nafas terakhirnya pada 11 Ogos 2016 kerana sakit tua.

Allahyarham meninggal dunia di kediaman anaknya di Teluk Bahang, Pulau Pinang.

7. Accapan (14 September 2018)

Image via Selangorkini

Pelawak, Accapan meninggal dunia pada 14 September 2018 di rumahnya kerana kegagalan buah pinggang di usia 63 tahun.

Accapan atau nama sebenarnya Samynathan Rethinam meninggalkan seorang isteri, Yogeswari Subramaniam dan tiga orang anak.

8. Pak Tam (31 Mac 2019)

Image via Media Hiburan

Pak Tam dari program Raja Lawak meninggal dunia akibat kekurangan oksigen dalam badan dan paru-paru berair di usia 61 tahun.

Allahyarham Pak Tam atau nama sebenarnya Muhammad Nooruula Ismail menghembuskan nafas terakhir di kediamannya yang terletak di Kampung Permatang Badak, Kuantan, Pahang tanpa sempat dibawa ke hospital oleh keluarganya.

Allahyarham telah meninggalkan seorang balu, empat orang anak berserta lapan cucu.

9. Kamal Chilok (12 Oktober 2019)

Image via Astro Gempak

Anggota kumpulan Chilok, Kamal menghembuskan nafas terakhir di Hospital Putrajaya selepas dua hari koma akibat terbabit dalam kemalangan jalan raya.

Kamal atau nama lengkapnya Mohd Kamal Shah Saharuddin meninggal dunia di usia 30 tahun kerana komplikasi akibat kemalangan itu. 

10. Abam Bocey (10 Februari 2020)

Image via rojakdaily

Terbaru semalam, pelawak Abam dari kumpulan Bocey telah menghembuskan nafas terakhir di kediamannya yang terletak di Gombak.

Meninggal dunia di usia 32 tahun, Allahyarham Abam atay nama sebenarnya Syed Umar Mokhtar Syed Mohd Redzuan meninggalkan seorang balu dan juga anak lelaki yang baru berusia 5 bulan.

Allahyarham Abam dikesan tidak sedarkan diri oleh isterinya sendiri ketika mahu dikejutkan untuk menunaikan solat Subuh awal pagi semalam.


Lawak serta jasa kalian tidak akan dilupakan. Terima kasih kerana telah menghiburkan kami semua selama ini.

LIKE Facebook dan follow Twitter SAYS SEISMIK dan temui segala cerita mesti kongsi sekarang!

Lebih banyak di SAYS:

You may be interested in: