"Dia Maafkan Semua Orang Yang Kutuk Dia Gemuk" - PU Rahmat Dedah Amalan Abam Ketika Hidup
Ramai yang cemburu dengan kematian arwah.
Pemergian mengejut Syed Umar Mokhtar Syed Mohd Ridzuan atau lebih dikenali sebagai Abam semalam telah memberi kesan yang sangat mendalam buat seluruh rakyat Malaysia
Buktinya, ramai yang menziarahi serta mengiringi jenazah Allahyarham di Masjid Gombak Utara petang semalam. Ruangan di dalam masjid tersebut dilihat penuh dengan kehadiran orang ramai termasuklah dalam kalangan rakan artis dan juga pendakwah bebas.
Melihat kepada suasana itu, ramai dalam kalangan netizen menyifatkan ia sebagai suatu kematian yang sangat dicemburui.
Bukan itu sahaja, Berita Harian turut melaporkan kira-kira 2,000 orang telah hadir bagi memberikan penghormatan terakhir kepada arwah yang disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Pusu, Gombak, kira-kira jam 7.20 malam tadi.
Kematian Allahyarham Abam secara tidak langsung membuatkan ramai yang tertanya-tanya apakah amalan arwah ketika hayatnya sehingga ia memberikan kesan yang sangat mendalam kepada ramai orang
Menerusi satu perkongsian yang dibuat Pencetus Ummah Rahmat Ikhsan di laman Twitter, beliau kemudiannya mendedahkan beberapa perkara serta amalan yang telah dilakukan oleh Allahyarham Abam ketika hidupnya yang mungkin tidak disangka-sangka.
Menurut PU Rahmat, ketika hayat arwah, Abam tidak pernah memarahi mana-mana individu yang memberi kutukan terhadap fizikalnya
Namun katanya, arwah hanya akan merasa terkilan sekiranya ada individu yang mengutuk anak kecilnya.
Selain itu, Abam juga dilihat sangat 'bergaya' dalam melawan body shaming meskipun ramai yang mempertikai arwah ketika dia melaungkan ungkapan 'gemuk is awesome'.
Arwah juga ada berpesan kepada teman-temannya agar menurunkan berat badan
Menyedari dirinya mempunyai fizikal yang agak besar, PU Rahmat memberitahu bahawa arwah juga masih berusaha untuk mengurangkan berat badannya malah dia juga turut meninggalkan pesanan kepada rakan-rakan yang mempunyai fizikal sepertinya untuk turut menurunkan berat badan.
Bukan itu sahaja, apa yang lebih mengejutkan PU Rahmat turut mendedahkan bahawa Allahyarham juga dilihat sering menghadiri program dakwah. Malah katanya arwah juga tidak berkira malah sanggup menjadi tetamu jemputan dalam sebuah program meskipun bayaran yang diterima olehnya tidak mahal.