Disadur Emas 24 Karat, Wanita Ini Beli 'Sabun Paling Mahal Di Dunia' Dengan Harga RM11,445
Sabun jenama Khan Al Saboun itu dihasilkan oleh syarikat Bader Hassen & Sons.
Percaya atau tidak, sebenarnya terdapat sabun yang dijual pada harga AS$2,800 (RM11,445) dan ianya didakwa termahal di dunia
Menurut sumber, sabun jenama Khan Al Saboun itu dihasilkan oleh syarikat Bader Hassen & Sons di sebuah kilang yang terletak Tripoli, Lebanon.
Syarikat Bader Hassen & Sons sememangnya terkenal di Lebanon dalam menghasilkan sabun dan produk penjagaan kulit yang mewah mengandungi minyak aromaterapi serta wangian semula jadi.
Mereka menjualnya di beberapa kedai paling eksklusif di Dubai dan UAE, tetapi produknya yang paling mahal hanya ditawarkan kepada tetamu istimewa dan personaliti penting sahaja.
Sebelum ini, sabun itu pertama kali pernah dihasilkan pada tahun 2013 sebagai hadiah kepada Wanita Pertama Qatar, Moza Naser.
Sabun termahal dunia itu diukir tangan dengan nama penerima dan disadur emas 24 karat
Sabun mewah itu telah diubah suai oleh syarikat berkenaan dan menjadi tular apabila video Ketua Pegawai Eksekutif, Amir Hasen memberikannya kepada selebriti wanita dari Bahrain iaitu Shaila Sabt baru-baru ini.
“Sabun ini diberi gelaran paling mahal di dunia bukan kerana kandungan serbuk emasnya tetapi kesannya pada psikologi dan rohani seseorang wanita,” kata Amir.
Dalam pada itu, Amir turut mendedahkan sabun itu mengandungi 17 gram emas 24 karat, beberapa gram serbuk berlian, minyak zaitun tulen, madu organik, kayu gaharu tua dan kurma.