Dua Lelaki Samun Dobi & Kedai Runcit Dalam 15 Minit Menyebabkan Kerugian Lebih RM14,000
Kejadian dikatakan berlaku di Bandar Puteri Jaya, Sungai Petani, Kedah.
Semalam telah viral sebuah video yang merakamkan dua orang lelaki meragut seorang wanita di sebuah kedai dobi layan diri 24 jam di Bandar Puteri Jaya, Sungai Petani, Kedah
Hanya dalam tempoh 15 minit, dua lelaki yang bersenjatakan parang itu telah menyamun sebuah kedai dobi 24 jam dan kedai runcit di Sungai Petani yang telah menyebabkan kerugian sebanyak RM14,500 pada hari Selasa, 11 September.
Menurut laporan yang dikeluarkan oleh Harian Metro, untuk kejadian yang pertama, seorang suspek telah memasuki kedai dobi tersebut pada jam 7 pagi dan bertindak menyamun seorang wanita yang dikatakan seorang pensyarah yang sedang duduk bersendirian.
Suspek juga berpura-pura bertanyakan tentang pakaiannya yang kononnya telah hilang ketika dicuci.
Selepas itu, suspek menghampiri wanita itu sebelum cuba untuk merampas beg tangannya.
Wanita itu juga dikatakan terkejut dengan situasi itu dan menarik semula beg tangan miliknya.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Superitendan Sazalee Adam berkata, “Suspek kemudian mengacu sebilah parang ke arah mangsa menyebabkan mangsa yang ketakutan menyerahkan beg tangan sebelum seorang lagi lelaki masuk dan merentap rantai emas di leher, gelang tangan, dua cincin serta telefon bimbit selain turut mengambil kunci kereta Proton Persona wanita terbabit.
"Mereka kemudian melarikan diri menaiki kereta Proton Iswara Aeroback kelabu yang menunggu di depan kedai," tambah Sazalee.
Mangsa yang mengalami trauma dengan kejadian yang berlaku telah membuat laporan di Balai Polis Sungai Petani selepas menerima kerugian sebanyak RM10,000.
Manakala, kejadian yang kedua pula berlaku 15 minit kemudian di sebuah kedai runcit 24 jam di Taman Ria.
Suspek berpura-pura ingin membeli kad pra bayar telefon sebelum bertindak menyamun.
Kejadian di kedai runcit itu berlaku selepas seorang suspek dikatakan telah masuk ke kaunter pembayaran ketika pekerja kedai runcit tersebut sedang mengambil kad pra bayar yang ingin dibeli. Kemudian, suspek mula mengacu pisau panjang ke leher mangsa dan memaksanya untuk membuka laci wang.
“Mereka merampas wang tunai dan beg, namun mangsa sempat menekan butang siren kecemasan di bawah laci menyebabkan suspek panik dan terus berlari keluar masuk ke dalam kereta sebelum melarikan diri,” kata Sazalee.
Kejadian itu juga telah menyebabkan kedai runcit tersebut menerima kerugian sebanyak RM1,500, tiga telefon bimbit dan juga beg silang mangsa yang mengandungi dua telefon bimbit yang membabitkan kerugian bernilai RM4,500.
Menurut siasatan dan juga rakaman CCTV, mereka mendapati suspek adalah dua orang yang sama untuk kedua-dua kejadian pada hari yang sama.
Usaha memburu masih dijalankan.
Tonton klip penuh kejadian di Kedai Dobi 24 jam di bawah:
Sekiranya kedua suspek remaja lelaki ini ditangkap, mereka akan disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.
Terbaru, seorang pengguna Twitter telah menemui akaun Facebook salah seorang suspek dan posting tersebut juga telah viral di laman tersebut:
Sumber: Harian Metro | Twitter