seismik

Gadis 20 Tahun Maut Ditikam Bekas Tunang Kerana Cemburu

Motif jenayah dipercayai dilakukan akibat cemburu.

Cover image via therakyatpost.com

[TERKINI] Bekas tunang Nursyafikah berdepan hukuman mati jika bersalah

Image via SAYS.com

Seorang penganggur didakwa di Mahkamah Majistret di Kluang semalam atas tuduhan membunuh bekas tunangnya, awal bulan ini.

Muhammad Irshaduddin Khalis Nasurudin, 23, didakwa menyebabkan kematian dengan niat untuk membunuh Nursyafikah Ahmad Ismail, 20, dengan menggunakan sebilah pisau.

Muhammad Irshaduddin berasal dari Taman Bukit Tiram, Johor Bahru didakwa melakukan kesalahan itu di kawasan letak motosikal pasar raya Econsave, Jalan Mersing pada 5.45 petang, 10 April lepas.

bernama.com

Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan. Mahkamah menetapkan 26 Mei depan untuk sebutan semula kes.

15 April: "Impian kami untuk hidup telah dimusnahkan oleh pembunuhnya," luah tunang Nursyafikah

Image via imgur.com

Susulan kejadian seorang gadis, Nursyafikah, 20, maut dibunuh oleh bekas tunang, tunangnya telah melahirkan rasa sedih tetapi redha dengan pemergian mangsa yang merupakan insan yang disayangi.

Mohd Fahmi Muskin, 21, nyata terkilan dengan kejadian berkenaan dan berharap pembunuh tersebut dapat ditangkap secepat mungkin dan dihukum.

siakapkeli.com.my

Fahmi, yang bekerja di sebuah kilang di Ulu Tiram melahirkan rasa sedih kerana hasrat dia dan tunangnya yang merancang akan berkahwin pada September tidak kesampaian

“Walaupun kami baru bertunang kira-kira sebulan lalu, saya mengenali Nursyafikah sejak enam tahun lalu menyebabkan kehilangannya amat dirasai, apatah lagi dia wanita pertama hadir dalam hidup saya."

“Lebih menyedihkan mengenangkan beberapa hari sebelum kejadian, dia meminta saya jangan sesekali meninggalkannya serta kerap meminta dimaafkan jika ada yang menyakitkan hati saya sepanjang perkenalan kami,” kata Fahmi.

siakapkeli.com.my

10 April: Seorang gadis meninggal dunia selepas ditikam di rusuk kiri dengan pisau oleh bekas tunangnya, di tempat letak kenderaan sebuah pasar raya di Kluang, Johor pada Jumaat

Ketua Polis Daerah Kluang, ACP Mohd Roze Shaari berkata kejadian berlaku kira-kira pukul 6 petang ketika mangsa, Nursyafikah Ahmad Ismail, 20, sedang bekerja di pasar raya itu.

"Dipercayai berlaku pertengkaran antara Nursyafikah dan suspek yang berumur 20-an sebelum kepala Nursyafikah terhentak di sebuah motosikal akibat ditolak suspek serta kemudian ditikam di rusuk kiri menggunakan pisau pemotong sayur," katanya.

bernama.com

Kejadian dipercayai bermotifkan cemburu apabila suspek tidak dapat menerima hakikat bahawa Nursyafikah telah bertunang dengan lelaki lain dan bakal melangsungkan perkahwinan tidak lama lagi

Mohd Roze berkata polis menemukan pisau yang dipercayai digunakan dalam kes itu di tempat kejadian dan Nursyafikah meninggal dunia ketika mendapat rawatan di Hospital Enche' Besar Hajjah Khalsom di Kluang.

"Polis sudah mengenal pasti suspek dan operasi memburunya sedang dilakukan," katanya.

therakyatpost.com

Ibu mangsa, Bedah Bontak mendedahkan lelaki itu yang dikenali sebagai Zam bersungguh-sungguh meminta maaf daripada anaknya dan sempat makan tengah hari di rumah mereka sebelum kejadian

Isa Abdul Samad (kanan) dan Bedah Bontak (kiri), bapa dan ibu kepada mangsa, Nursyafikah.

Image via mstar.com.my

"Dia datang ke rumah kami kira-kira pukul 11 pagi dan memohon maaf daripada Nursyafikah kerana memutuskan pertunangan mereka."

"Agak pelik kerana dia muncul secara tiba-tiba selepas beberapa bulan menghilangkan diri. Namun kami sekeluarga tetap melayannya dengan baik dan menjamunya makan," katanya di rumahnya di Felda Ulu Dengar.

Beliau berkata pemuda berkenaan berada di rumahnya kira-kira dua jam sebelum dihantar pulang ke bandar Kluang oleh adik dan abang Nursyafikah.

mstar.com.my

Bedah tidak menyangka Zam, yang memutuskan tali pertunangan mereka berdua sebenarnya menyimpan dendam terhadap anaknya sehingga sanggup membunuh

Nursyafikah dikatakan bertunang dengan pemuda berkenaan tahun lepas sebelum putus enam bulan lalu.

mstar.com.my

Bedah turut mendakwa sepanjang pertunangan dengan suspek, anaknya dipercayai pernah dipukul beberapa kali.

"Anak saya berasa sangat kecewa apabila lelaki tersebut memutuskan pertunangan mereka dan tidak menghubunginya sehingga dia muncul semula semalam," katanya lagi.

sinarharian.com.my

Menurut sumber rasmi, nama suspek dikenalpasti sebagai Khalis atau nama panggilan “Ejam” yang dipercayai berasal dari Ulu Tiram. Suspek kini dalam buruan pihak polis.

Image via melvister.com

Mohd Roze berkata pihaknya percaya suspek yang berusia lingkungan 20-an masih berada di negeri ini dan pihak polis sudah mempunyai petunjuk dan berharap dapat menyelesaikan kes berkenaan dengan segera.

“Setakat ini hanya seorang suspek yang dikenal pasti terlibat dan polis sedang berusaha untuk memberkasnya. Siasatan kes dilakukan dari pelbagai sudut termasuk meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang berada di dalam dan di luar pasar raya tempat berlaku kejadian," kata Mohd Roze.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta menghubungi pihak polis.

hmetro.com.my

Pada 2 Februari lalu, seorang pelajar berusia 19 tahun dari UiTM Permatang Pauh, Pulau Pinang maut ditikam rakan lelaki kerana menolak cinta. CERITA PENUH:

You may be interested in: