Galak Transaksi Cashless, 48,000 Bangsa Johor Dapat Insentif eWallet RM20 Di Bazar Ramadan
Banyak juga tu RM20, complete juadah berbuka!
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Rakyat Johor kini menerima insentif eWallet Touch 'n Go bernilai RM20 dalam usaha kerajaan menggalakkan transaksi tanpa tunai di lapan lokasi bazar Ramadan terpilih
Menurut laporan Sinar Harian, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, program ini bukan sahaja memudahkan urusan jual beli tetapi turut menyokong usahawan kecil dan ekonomi tempatan.
"Sebanyak 1,000 pengunjung pertama di setiap lokasi menerima insentif eWallet Touch ‘n Go RM20. Seramai 48,000 penerima di Johor Bahru, Muar, Kluang, Segamat, Batu Pahat, Kota Tinggi, Mersing, dan Pontian menerima manfaat ini," katanya.
Difahamkan, usaha tersebut juga sejajar dengan matlamat kerajaan negeri untuk memperkukuh ekonomi digital dan mendidik masyarakat ke arah penggunaan transaksi tanpa tunai
Menurut beliau lagi, kerajaan negeri melalui 16 pihak berkuasa tempatan (PBT) telah meluluskan sebanyak 200 lokasi bazar Ramadan dengan 11,202 petak niaga di seluruh negeri.
Selain itu, sebanyak 28 bazar Aidilfitri dengan 1,555 petak niaga turut disediakan bagi memenuhi keperluan rakyat menjelang Syawal.
"Lebih istimewa, bazar ini turut menjadi sebahagian daripada Program Bazar Ramadan Rahmah yang diadakan di seluruh negara bagi memberi lebih kemudahan kepada pengunjung untuk mendapatkan juadah berbuka puasa dengan harga berpatutan.
"Saya berharap inisiatif ini dapat memberi manfaat kepada rakyat, bukan sahaja dalam memudahkan transaksi jual beli, tetapi juga dalam membantu peniaga kecil menjana pendapatan lebih baik sepanjang Ramadan," katanya.
Sebelum itu, beliau mengunjungi Bazar Ramadan Taman Dahlia di sini, yang menjadi salah satu lokasi terpilih bagi pelaksanaan program tersebut.
"Semoga usaha ini membawa manfaat kepada seluruh Bangsa Johor bukan sahaja dalam kemudahan transaksi tetapi juga dalam memastikan harga makanan yang berpatutan serta suasana bazar yang lebih teratur," katanya lagi.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!