Masjid Di Jepun Dibenar Guna Taman Awam Untuk Sambutan Aidiladha, Tapi Tak Bagi Solat Berjemaah
Difahamkan, wakil masjid meluahkan rasa kecewa dengan keputusan tersebut.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Sebuah masjid di bandar Ichikawa, Jepun dilaporkan dibenarkan menggunakan taman awam untuk penganjuran festival Aidiladha, namun dengan syarat tidak mengadakan solat berjemaah di kawasan tersebut
Menurut laporan The Mainichi, pihak kerajaan bandar Ichikawa di wilayah Chiba pada 26 Mei lalu meluluskan permohonan penggunaan taman oleh Masjid Hira Gyotoku selepas pihak masjid bersetuju untuk tidak melakukan ritual solat di lokasi berkenaan.
Sebelum itu, pihak bandar raya dilaporkan meminta masjid tersebut menarik semula permohonan asal mereka untuk menggunakan Taman Minamioki yang terletak di hadapan masjid.
Masjid berkenaan memaklumkan mereka akur dengan syarat tersebut buat sementara waktu demi menjaga hubungan baik dengan komuniti setempat, namun berharap kebenaran untuk mengadakan solat di taman itu dapat dipertimbangkan semula pada masa akan datang.

Untuk rekod, sejak ditubuhkan pada tahun 1997, Masjid Hira Gyotoku menggunakan sebahagian taman itu dua kali setahun bagi acara sambutan Aidilfitri dan Aidiladha, termasuk mendirikan solat berjemaah serta membuka gerai makanan dan aktiviti komuniti
Bagaimanapun, ketika permohonan dibuat bagi sambutan Aidiladha tahun ini, pihak bandar raya menyatakan penggunaan taman bagi tujuan yang dilihat mempromosikan kepercayaan agama adalah tidak dibenarkan mengikut garis panduan dalaman pengurusan taman awam.
Menurut pihak pengurusan taman, isu utama bukan berkaitan solat itu sendiri, tetapi kebimbangan yang dibangkitkan di media sosial serta dalam sidang dewan bandar raya mengenai penggunaan eksklusif taman awam apabila kawasan itu dipenuhi kumpulan pengunjung yang menghamparkan tikar dan kanvas.
Selepas rundingan lanjut, pihak masjid akhirnya mengemukakan semula permohonan tanpa menyenaraikan aktiviti solat dalam program tersebut sebelum permit penggunaan taman diluluskan.
Solat Aidiladha difahamkan tetap akan diadakan di dalam masjid atau lokasi lain. Sementara itu, wakil masjid meluahkan rasa kecewa dengan keputusan tersebut kerana sebelum ini aktiviti solat berjemaah di taman berkenaan pernah dibenarkan tanpa masalah.
"Sudah tentu kami sedih dan kecewa dengan permintaan mengejut ini. Namun kami tidak mahu bermusuh dengan pihak bandar raya dan berharap hubungan baik dengan masyarakat setempat dapat terus dipelihara seperti sebelum ini," katanya.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



Cover image via