Tampil Berhijab & Berbaju Kurung, Shasha Masrey Cipta Sejarah Di Framesi International Congress
Shasha Masrey satu-satunya wanita Muslimah berhijab yang menyertai persembahan elit Asia Style Framesi.
Cover image via @shasha.masrey (Instagram)Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Pengasas Nieza Salon Muslimah, Shasha Masrey, melakar sejarah membanggakan buat industri kecantikan negara apabila diundang sebagai satu-satunya wanita Muslimah berhijab yang menyertai persembahan elit Asia Style Framesi sempena Framesi International Congress 2026 yang berlangsung di bandar bersejarah Marrakech, Maghribi
Kehadiran beliau di pentas antarabangsa berskala mega itu bukan sekadar mempamerkan kemahiran teknikal dandanan rambut kelas pertama, malah membawa mesej diplomasi budaya Malaysia apabila tampil anggun dan berkeyakinan menyarung baju kurung tradisional lengkap berhijab rekaan pereka tempatan, Mohd Amirul Md Jonit (mode.miroljonit) di hadapan ratusan penggiat dan lensa media industri kecantikan global.
Framesi International Congress merupakan himpunan berprestij dunia yang menghimpunkan ribuan jurugaya, pakar dandanan rambut, serta profesional salun dari seluruh pelosok dunia sebagai platform perkongsian trend terkini, inovasi teknik potongan, dan pertukaran idea kreatif. Bagi edisi 2026 di Marrakech, penganjur mengangkat tema besar "People Soul of the World" bagi meraikan kepelbagaian identiti antarabangsa.
Menerusi segmen persembahan global bertemakan "Future People" yang menyatukan inovasi moden dan warisan tradisi, Shasha mempersembahkan demonstrasi secara langsung (live demonstration) bagi teknik potongan rambut kontemporari Asymmetric Bob iaitu sebuah gaya potongan yang menuntut ketelitian tinggi, struktur geometri kemas, serta keseimbangan visual yang sempurna.

Shasha buktikan bahawa baju kurung dan hijab juga merupakan lambang profesionalisme yang mampu berdiri sama tinggi di pentas fesyen rambut dunia
Di saat kebanyakan pendandan rambut antarabangsa menggayakan busana moden Barat, penampilan konsisten Shasha membuktikan bahawa baju kurung dan hijab merupakan lambang profesionalisme yang mampu berdiri sama tinggi di pentas fesyen rambut dunia tanpa sedikit pun mengurangkan nilai estetika persembahannya.
Dalam persembahan berpasukan tersebut, beliau turut bergandingan bersama barisan pendandan rambut terkemuka Asia yang mengetengahkan elemen budaya negara masing-masing, termasuk wakil dari Thailand (Art), China (Oolong), serta rakan seperjuangan dari Malaysia, Kenza daripada Alph Studio.
Sebagai pengasas di sebalik jenama Nieza Salon Muslimah iaitu sebuah pusat dandanan yang menitikberatkan aspek privasi, keselesaan, dan pematuhan syariat buat pelanggan wanita di Malaysia. Pencapaian Shasha di Marrakech membuka lembaran baharu dengan memecahkan stereotaip bahawa penggiat industri berteraskan nilai Islam sukar menembusi pasaran profesional antarabangsa.
Kejayaan luar biasa ini bukan sahaja menjadi mercu tanda kebanggaan negara, malah menjadi sumber inspirasi kepada bakat-bakat tempatan bahawa pegangan teguh terhadap identiti agama dan warisan budaya bukanlah penghalang, sebaliknya kekuatan unik untuk menyerlah di mata dunia.

Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!


