"Ibu Berhak Dapat Kebahagiaan Dalam Hidupnya," Viral Kisah Pasangan Warga Emas Diijabkabul
Jodoh tidak mengenal usia.
Siapa sangka akan ketentuan jodoh ini bukan? Cinta memang tidak mengenal usia dan umur bukanlah penentu kebahagiaan dalam sesebuah perkahwinan.
Berkahwin merupakan saat yang penting dalam kehidupan manusia. Namun begitu perjalanan setiap manusia itu berbeza.
Ada yang bertemu jodoh pada usia muda dan ada juga yang bertemu jodoh ketika usia lebih matang. Semua ini telah pun ditetapkan dan merupakan rahsia Allah SWT sehingga tiba masanya.
Pada 23 Julai yang lalu, viral di akhbar dan laman sosial mengenai pasangan warga emas yang telah mendirikan rumahtangga di Ipoh, Perak
Pasangan tersebut, Hussain Abdul Rahman, 84, dan Kamsiah Adam, 66, telah selamat diijabkabulkan oleh adik Kamsiah iaitu Hamzah Adam sambil disaksikan Timbalan Pendaftar Ipoh, Mohd Azarudin Mohamad Saarani.
Pasangan itu telah mengenali hati budi masing-masing sejak dua bulan lalu apabila mula bertentang mata ketika sama-sama mengikuti kelas pengajian di Pusat Pendidikan Al Barakah.
Anak kepada pengantin perempuan, Arif Rafhan telah menyatakan rasa kesyukurannya terhadap perkahwinan tersebut menerusi satu thread di laman Twitter
Baca thread tersebut di bawah:
Semalam, keluarga kami mengalu-alukan ahli keluarga baru; ayah baru! Ayah saya telah meninggal pada tahun 1982 dan ibu telah membesarkan kami sendirian; bekerja sebagai pembersih hotel kemudian dinaiktaraf sebagai chambermaid dalam tempoh 10 tahun.
Kemudian, ketika kami berada di kolej, ibu melanjutkan pengajian di Australia dalam fisioterapi dan terus membiaya keluarga kami sebagai tukang urut untuk wanita selama beberapa tahun. Ibu memberikan segalanya kepada anak-anaknya dan ibu berhak mendapat kesimpulan yang bahagia dalam hidupnya.
Semalam, ibu telah berkahwin dengan seorang lelaki yang kami kagumi dan hormati; seorang Nazir untuk sekolah agama di Melaka dan Johor, seorang imam di UIAM, seorang qari mewakili Johor dalam tilawah, dan seorang suami kepada ibu saya yang paling saya sayangi, Kamsiah Adam.
Kami sayang ibu. Kami sangat gembira melihat wajah ibu berseri pada hari bahagia ibu dan berharap ibu dan ayah akan bahagia sehingga ke Jannah. Amin.
Menariknya, pengasas dan pengetua Pusat Pendidikan Al Barakah, Ustaz Kazim merupakan 'orang tengah' kepada pasangan pengantin tersebut
"Alhamdulillah, saya berterima kasih dengan cadangan Ustaz Kazim sebab dia melihat saya keseorangan sejak saya mula mengikuti kelas di sini tiga bulan lalu.
"Ini perkahwinan saya yang ketiga dan saya berharap ia akan kekal sehingga akhir hayat. Saya berkahwin kerana mahu menjalankan amal ibadat dengan lebih tenang di sini apabila ada insan yang sudi menjaga saya," ujar Hussain Abdul Rahman.