seismik

Ibu Meninggal, Bapa Di Penjara. Ramadan 6 Beradik Ini Suram Tanpa Ibu Bapa Tersayang

Ibu sudah tiada, bapa pula dipenjara. Sedihnya bila mengenangkan nasib mereka berenam ini.

Cover image via Berita Harian

Ketibaan Ramadan tahun ini disambut dengan penuh kepiluan oleh 6 beradik yang baru sahaja kehilangan ibu tercinta pada 25 April yang lalu

(DARI kiri) Nor Aina Syazwani Mohd Fauzi, Muhammad Aiman Syazriezal, Muhammd Aiman Syazwan Abdullah, Nor Aina Syazlieyana, Nor Aina Syazlina dan Nor Aina Syazlien.

Image via Adzlan Sidek / Berita Harian

Ternyata tidak semua keluarga menyambut kehadiran bulan mulia ini dengan penuh keceriaan bersama keluarga tercinta. Nasib 6 beradik ini sememangnya tidak menyebelahi mereka selepas kehilangan ibu mereka, Nor Amira Sahran, 33, yang telah meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya di Lubuk China pada 25 April yang lalu.

Bukan itu sahaja, bapa mereka juga dikatakan masih berada di dalam penjara akibat kesalahan kes dadah.

Menurut laporan, bapa mereka dijangka akan dibebaskan selepas Aidilfitri ini.

Sejak pemergian ibu, mereka enam beradik yang tinggal di Kampung Sungai Timun Lubuk China, Rembau kini menumpang kasih di rumah datuk saudara, Sajirin Kassim, 58, di Kg Legong Ulu, Kota Rembau

Menurut Sajirin, mereka dan ahli keluarga yang lain bertanggungjawab untuk menjaga mereka berenam oleh kerana bapa mereka yang masih berada di penjara.

Bukan setakat itu sahaja, Sajirin juga turut merasakan bahawa dia perlu memastikan mereka semua berada dalam keadaan yang baik dan gembira walaupun tidak berada di samping orang tua tersayang pada bulan ramadan dan aidilfitri yang bakal menjelang nanti.

Seorang pengguna Facebook, Mang Ji yang merupakan majikan kepada arwah ibu enam beradik ini turut menjelaskan perkara sebenar mengenai keluarga ini. Sebak...

Ini kisah anak-anak arwah staff sy yang meninggal dunia semalam. Mereka 6 beradik.
Sulung darjah 6 yang bongsu satu tahun setengah. Hari ini mereka kehilangan mama tersayang. Kematian yang amat menginsafkan.

Ini kisah mereka sekeluarga:

Saya dan suami sampai ke rumah abang ipar arwah selepas solat Jumaat tadi. Jenazah belum sampai. Masih di hospital. Suaminya di dalam penjara. Sebelum ini telah beberapa kali ditahan dan arwah yang membayar wang denda sehingga lah yang kali terakhir ini arwah sudah tidak sanggup dan tidak mempunyai wang untuk membayar denda. Arwah, mama hebat.

Siapa sangka seawal jam 10 malam sudah mula membuat persiapan menyiapkan nasi lemak. Arwah menghantar nasi lemak setiap pagi ke Stesen Petronas. Pulang semula ke rumah menyiapkan anak-anak untuk ke sekolah. Bayangkan bagaimana kalutnya setiap pagi. 

Selesai menghantar anak ke sekolah, beliau terus ke tempat kerja. Bekerja sebagai cleaner di sebuah bank. Jarak perjalanan ke tempat kerja antara 30-45minit.
Setiap sabtu dan ahad arwah akan part time pula di Sultan Salai. Juga jarak perjalanan antara 30-45 minit. Baru saya tahu. Tiada sehari pon hari rehat buat beliau. Arwah bekerja siang dan malam untuk menampung hidup beliau 7 beranak.

Sedihnya Ya Allah bila tahu anak sulung baru berusia 12 tahun perlu menjaga sendiri adik-adik bila pulang dari sekolah. Tiada mak yang menghidangkan makan dan minum apabila balik dari sekolah. Semuanya telah disediakan mamanya dari awal pagi.

Hari ini, rezeki Allah beri pada kami. Dapat menunggu jenazah sampai ke masjid. Sepanjang menunggu saya mendengar cerita-cerita baik tentang arwah. Sehinggalah selesai solat jenazah, apabila imam berkata bagaimana keadaan jenazah? Jemaah menjawab 'baik'. Imam bertanya lagi. Bagaimana keadaan jenazah? Jemaah menjawab baik. Kata Imam, Ini adalah pengajaran untuk kita yang masih hidup. Sementara kita menunggu suami arwah tiba, boleh la melihat dan mencium arwah buat kali terakhir. Hiba.

Anak-anak arwah dipimpin oleh saudara mara ke hadapan. Mereka, usianya tidak lebih 12 tahun apatah lagi si bongsu masih menyusu badan. Hampir pasti tidak faham langsung apa yang berlaku. Ajaibnya apabila melihat wajah mama mereka terkujur kaku dan tersenyum anak-anak ini menangis semahunya.

Selesai saudara mara dan sahabat melihat wajah untuk kali terakhir, kami semua diminta duduk. Menunggu sahaja ketibaan suami arwah. Sebak

Tiba-tiba terdengar esakan dan jeritan anak arwah. Mereka meluru dan memeluk susuk tubuh seorang lelaki yang sedang berjalan masuk dari pintu masjid. Tanggannya bergari sebelah. Ditemani 2 orang pegawai penjara. Allah.. air mata ini tidak dapat aku tahan. Sungguh, cerita seperti ini hanya dalam drama. Tetapi ini benar-benar terjadi kepada orang yang aku kenali.

Suaminya terus dibawa ke hadapan jenazah. Menangis semahunya menatap wajah isteri, kemudian dibawa ke tepi dinding. Masa ini semua anak arwah memeluk ayah mereka. Barangkali rindu teramat kepada lelaki bergelar ayah ini. Sikecil juga sempat didukung ayahnya. Suasana di dalam masjid bertukar sangat hiba. Hampir semua yang ada sebak dan menangis menyaksikan momen ini.

Tidak sampai 10 minit, lelaki ini terpaksa pergi. Dia terpaksa pulang ke tempat sementaranya, penjara! Tidak dapat menghantar arwah isteri ke tempat rehatnya yang abadi.

Manakala Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun mengatakan bahawa kerajaan negeri bakal menyediakan bantuan bagi meringankan beban enam beradik ini

Datuk Seri Aminuddin Harun, Menteri Besar Negeri Sembilan.

Image via The Leaders Online

Bantuan yang bakal dihulurkan adalah berbentuk Rancangan Makanan Tambahan (RMT) serta bantuan ke sekolah sebanyak RM200 kepada mereka yang masih bersekolah. Tambahan lagi, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) juga akan turut menghulurkan bantuan sebanyak RM450 sebulan diikuti dengan bantuan BaitulMal yang bakal diberikan sebanyak RM300 sebulan.

Semua bantuan ini adalah bagi menampung perbelanjaan mereka berenam.

Kerajaan negeri akan turut membantu menambah baik rumah yang didiami oleh mereka berenam supaya mereka akan lebih selesa.

“Perkara ini kita akan cuba segerakan bagi keselesaan mereka untuk mendapat tempat tinggal selesa dan pendidikan yang baik. Sumbangan daripada pihak swasta juga dialu-alukan dan berharap duit diterima mereka boleh dijadikan sebagai tabung untuk ke sekolah pada masa depan.”
Datuk Seri Aminuddin Harun, Menteri Besar Negeri Sembilan

Buat anda yang ingin menghulurkan bantuan ikhlas bagi meringankan beban enam beradik di bulan Ramadan yang mulia ini, boleh lihat info di bawah:

LIKE Facebook dan follow Twitter SAYS SEISMIK dan temui segala cerita mesti kongsi sekarang!

Berita terkini hanya di SAYS Seismik:

More stories to read: