Ini Yang Anda Perlu Tahu Tentang Rafah, Kawasan Perlindungan Di Gaza Yang Diserang Israel
Lebih 100 orang terbunuh dalam serangan yang dilakukan Israel sebelum Subuh di Rafah baru-baru ini.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Serangan di Rafah pada Isnin telah mengejutkan dunia sekali lagi apabila kawasan yang menjadi tempat perlindungan oleh rakyat dari serata Gaza dibom Israel
Tetapi mengapa kawasan yang menjadi perlindungan rakyat Palestin di Gaza di mana ramai antara mereka yang hanya berbumbungkan khemah ini menjadi lokasi serangan dilakukan Israel?
Di bawah, kami kongsikan kepada anda apa signifikan kawasan Rafah ini kepada penduduk Gaza dan mengapa ia diserang.
Rafah merupakan daerah yang berada di kawasan antara Semenanjung Gaza dan Mesir
Rafah di bahagian Palestin adalah meliputi 64 km persegi. Ketika Israel mula melakukan serangan ke atas Gaza, ramai penduduk telah dipaksa untuk ke sana oleh tentera Israel yang menjanjikan keselamatan jika mereka bergerak ke sana.
Kira-kira 1.4 juta rakyat Palestin kini telah ditolak masuk ke Rafah disebabkan pengeboman berterusan Israel yang telah membunuh hampir 30,000 rakyat Palestin.
Penduduk Gaza ramai dipaksa berada dalam kelompok padat dalam ruang terhad di samping keadaan yang daif dan berlaku kekurangan bekalan yang teruk.
Mengapa Rafah diserang?
Kawasan tersebut telah dijadikan tempat untuk tentera Israel melakukan "operasi" setelah mereka mendakwa mendapati kawasan berkenaan mempunyai kehadiran pejuang Hamas di situ.
Perkara ini telah digunakan sebagai alasan untuk mewajarkan serangan dilakukan secara berterusan melalui udara serta serangan darat yang dirancang.
Israel juga mendakwa rancangan untuk mengarahkan pengosongan kawasan itu sedang disediakan tetapi dilihat tidak jelas sama sekali menyebabkan ramai yang berlindung di Rafah tidak dapat bergerak ke mana-mana.
Bagaimanakah keadaan Rafah sekarang?
Imej satelit yang diperoleh menunjukkan kawasan Rafah sudah berada pada tahap yang teruk. Kira-kira 22,000 penduduk Gaza berkerumun di setiap 64 km persegi di Rafah.
Sebelum berlakunya serangan, 275,000 penduduk tinggal di kawasan berkenaan, menjadikan Rafah sebagai salah satu kawasan paling padat di Gaza, juga boleh tersenarai antara bahagian paling sesak di dunia.
Rakyat Gaza yang berpindah ke kemudahan United Nations Relief and Works Agency (UNRWA) berharap agensi tersebut dapat membantu mereka. Malangnya, hampir 150 kakitangan UNRWA terbunuh dalam serangan Israel, bantuan dihentikan dan kerajaan Barat menarik balik pembiayaan apabila Israel mendakwa bahawa 12 kakitangan UNRWA terlibat dalam serangan 7 Oktober.
Kesesakan yang berlebihan telah mengakibatkan penyebaran penyakit, di mana pegawai kesihatan di lokasi tersebut melaporkan wabak hepatitis A telah tersebar.
Apa yang Mesir boleh lakukan?
Disebabkan orang awam yang terperangkap ditekan ke sempadan dengan Mesir ini, ramai penganalisis berkata Israel nampaknya mahu menolak mereka ke Sinai di daerah Mesir.
Ini menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan dalam daerah negara Mesir dan kemungkinan lebih dari sejuta rakyat Palestin yang trauma dipaksa masuk ke wilayahnya.
Mesir dilaporkan telah memindahkan 40 kereta kebal dan pengangkut kakitangan berperisai ke sempadan Gaza untuk menghentikan sebarang potensi terkena serangan darat Israel.
Mesir telah memberi amaran bahawa sebarang serangan darat Israel ke atas Rafah akan membawa akibat buruk dan matlamat Israel untuk memaksa rakyat Palestin keluar dari tanah mereka akan mengancam perjanjian damai Camp David yang berusia 40 tahun di antara kedua-dua negara.
Sumber: Al Jazeera
Sebagai rekod, 1.4 juta rakyat Palestin kini sedang berlindung di Rafah dengan sebahagian besar tinggal di dalam khemah, manakala makanan, air dan ubat-ubatan difahamkan semakin berkurangan.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita ‘mesti kongsi’ sekarang!