Kadar Pengangguran Malaysia Kini Jatuh Kepada 3.1%, Paling Rendah Sejak Tahun 2015
Ini merupakan kadar pengangguran pada Disember 2024 merekodkan kadar terendah dalam masa hampir 10 tahun.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Kadar pengangguran Malaysia merekodkan paras terendah sejak tahun 2015 dengan 3.1% bersamaan dengan 544,000 penganggur
Menerusi laporan Berita Harian, Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata daya tahan dan pertumbuhan yang kukuh telah dilihat dalam ekonomi Malaysia menjelang penghujung 2024.
"Oleh itu, pasaran buruh juga menunjukkan prestasi yang baik, dengan kadar pengangguran terus menurun pada bulan Disember 2024.
"Guna tenaga mencatatkan perkembangan yang stabil, dan bilangan penganggur terus berkurang. Oleh itu, bilangan tenaga buruh pada bulan Disember 2024 kekal berada pada trend menaik dengan peningkatan sebanyak 0.1 peratus kepada 17.32 juta orang, merekodkan kadar penyertaan tenaga buruh (KPTB) yang lebih tinggi iaitu 70.6 peratus berbanding 70.5 peratus pada bulan yang lalu," katanya.
Kadar bilangan pekerja terus menunjukkan trend positif pada Disember 2024
Tambah Mohd Uzir, bilangan penduduk bekerja pada bulan Disember 2024 terus menunjukkan trend positif mencecah seramai 16.78 juta orang dengan peningkatan sebanyak 0.2 peratus.
Sementara itu, bilangan penganggur pada bulan berkenaan turun sebanyak 0.4 peratus berbanding dengan bulan November 2024 dengan penurunan dari 546,700 kepada 544,300 orang.
"Kadar pengangguran pada Disember menurun kepada 3.1 peratus, merekodkan kadar terendah dalam tempoh hampir satu dekad.
"Ekonomi Malaysia dilihat kekal pada trajektori pertumbuhan positif pada 2024, didorong oleh prestasi ekonomi yang kukuh meskipun berdepan dengan ketidaktentuan luaran yang berterusan," katanya.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita ‘mesti kongsi’ sekarang!