seismik

"Kematian Itu Pasti" - Ini 10 Tanda Meninggal Dalam Husnul Khatimah Yang Ramai Impikan

Moga kita meninggal dalam keadaan yang baik.

Cover image via MKM & Sinar Harian (Gambar sekadar hiasan)

Follow kami di TelegramInstagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.

Setiap yang bernyawa pasti akan merasai mati, begitulah kehidupan kita sebagai seorang manusia

Pasti ramai kenalan rapat atau ahli keluarga kita sendiri yang telah meninggal dunia. Walaupun ia sakit, namun sebagai seorang umat Islam, kita harus meredhai pemergian mereka.

Malah, kematian ini boleh terjadi dalam pelbagai bentuk dan cara. Ada yang meninggal dalam keadaan teruk dan ada juga yang meninggal dalam keadaan yang tenang.

Melihat kematian ini banyak menyedarkan diri kita dan membuat kita lebih insaf. Pasti semua orang mahu mati dalam keadaan yang diredhai Allah SWT bukan?

Namun, apakah tanda-tanda yang seseorang itu meninggal dalam keadaan husnul khatimah? Jom kita lihat tanda-tanda yang dikongsikan daripada Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.

1. Mati pada hari atau malam Jumaat

Ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan daripada Abdullah Ibn ‘Amru, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَا مِن مُسْلِمٍ يَمُوتُ يَوْمَ الجُمْعَةِ أَوْ لَيْلَةَ الجُمْعَةِ إِلَّا وَقَّاه اللهُ فِتْنَةَ القَبْرِ

Maksudnya: Tidak ada orang Islam yang meninggal dunia pada hari atau malam Jumaat kecuali Allah SWT akan melindunginya daripada fitnah kubur.

Hadis riwayat al-Tirmidzi: (1074) 

2. Mengucap dua kalimah syahadah sebelum menghembuskan nafas yang terakhir

Ini berdasarkan hadis yang telah disebutkan di atas bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَن كَانَ آخِرُ كَلَامِهِ لَا إِلَهَ إِلَّا الله دَخَلَ الجَنَّةَ

Maksudnya: Barangsiapa yang akhir perkataannya ‘Tiada tuhan melainkan Allah’, nescaya dia akan memasuki syurga.

Hadis riwayat Abu Daud: (3116)

3. Meninggal dunia dalam keadaan berpeluh di dahinya

Di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Tirmidzi, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَوْتُ المُؤْمِنِ بِعَرْقِ الجَبِينِ

Maksudnya: Tanda kematian bagi seorang mukmin ialah dengan berpeluh dahinya.

Hadis riwayat al-Tirmidzi: (982)

Gambar sekadar hiasan.

Image via Sinar Harian

4. Diberikan taufiq dan hidayah oleh Allah SWT sebelum dia meninggal dunia

Di dalam satu hadis bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِذَا أَرَادَ اللَّهُ بِعَبْدٍ خَيْرًا اسْتَعْمَلَهُ قَالُوا وَكَيْفَ يَسْتَعْمِلُهُ قَالَ يُوَفِّقُهُ لِعَمَلٍ صَالِحٍ قَبْلَ مَوْتِهِ

Maksudnya: Jika sekiranya Allah SWT menginginkan kebaikan terhadap hambaNya, maka Allah SWT menjadikannya sentiasa melakukan amal. Para sahabat RAnhum bertanya, “Bagaimana dia menjadikannya sentiasa melakukan amal?”. Rasulullah SAW bersabda: “Allah SWT akan memberikan taufiq padanya untuk melaksanakan amal soleh sebelum daripada kematiannya.

Hadis riwayat al-Tirmidzi: (2142)

5. Berasa gembira dan senang hati untuk bertemu dengan Allah SWT

Di dalam satu hadith yang diriwayatkan oleh Anas Bin Malik, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ أَحَبَّ لِقَاءَ اللَّهِ أَحَبَّ اللَّهُ لِقَاءَهُ وَمَنْ كَرِهَ لِقَاءَ اللَّهِ كَرِهَ اللَّهُ لِقَاءَهُ

Maksudnya: Barangsiapa gembira bertemu dengan Allah, maka Allah gembira bertemu dengannya. Dan barangsiapa merasa berat bertemu dengan Allah, maka Allah juga merasa berat untuk bertemu dengannya.

Hadith riwayat Muslim: (2685)

6. Meninggal dunia disebabkan oleh penyakit yang berkaitan dengan perut

وَمَنْ مَاتَ فِي الْبَطْنِ فَهُوَ شَهِيْدٌ

Maksudnya: Barangsiapa yang mati akibat daripada penyakit berkaitan perut, maka dia mati dalam keadaan syahid.

Hadis riwayat Muslim: (1915)

7. Meninggal dunia dalam keadaan mati lemas, jatuh bangunan dan syahid di jalan Allah SWT

الشُّهَدَاءُ خَمْسَةٌ الْمَطْعُونُ وَالْمَبْطُونُ وَالْغَرِقُ وَصَاحِبُ الْهَدْمِ وَالشَّهِيدُ فِي سَبِيلِ اللَّهِ

Maksudnya: Orang yang mati syahid itu ada lima iaitu orang yang meninggal karena penyakit tha’un, sakit perut, tenggelam, orang yang jatuh daripada bangunan atau tebing dan syahid di jalan Allah.

Hadis riwayat al-Bukhari: (652)

Gambar sekadar hiasan.

Image via Harian Metro

8. Meninggal dunia dalam keadaan melahirkan anak

قَتْلُ الْمُسْلِمِ شَهَادَةٌ وَالطَّاعُونُ شَهَادَةٌ وَالْبَطْنُ وَالْغَرَقُ وَالْمَرْأَةُ يَقْتُلُهَا وَلَدُهَا جَمْعَاءَ

Maksudnya: Seorang muslim yang terbunuh dikira sebagai seorang syahid, kematian akibat wabak taun juga dikira sebagai syahid, kematian karena sakit perut, mati lemas dan seorang wanita yang meninggal dunia kerana melahirkan anaknya dikira sebagai syahid.

Hadis riwayat Ibn Kathir: (5869)

9. Meninggal dunia kerana mempertahankan harta dan maruah dirinya

جَاءَ رَجُلٌ إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ : يَا رَسُولَ اللَّهِ ” أَرَأَيْتَ إِنْ جَاءَ رَجُلٌ يُرِيدُ أَخْذَ مَالِي قَالَ : فَلَا تُعْطِهِ مَالَكَ قَالَ : أَرَأَيْتَ إِنْ قَاتَلَنِي قَالَ : قَاتِلْهُ قَالَ : أَرَأَيْتَ إِنْ قَتَلَنِي قَالَ : فَأَنْتَ شَهِيدٌ قَالَ : أَرَأَيْتَ إِنْ قَتَلْتُهُ قَالَ : هُوَ فِي النَّارِ

Maksudnya: Datang seorang lelaki kepada Rasulullah SAW lalu bertanya: “Wahai Rasulullah SAW, bagaimana kalau ada seseorang yang hendak mengambil hartaku?” Baginda SAW bersabda, “Jangan engkau berikan hartamu!”. “Bagaimana kalau dia melawanku?”. Baginda SAW bersabda; “Lawanlah dia!”. “Bagaimana kalau dia membunuhku?” Baginda SAW bersabda; “Engkau syahid”. “Bagaimana kalau aku yang membunuhnya?” Baginda SAW bersabda: “Dia di neraka!”

Hadis riwayat Muslim: (140)

10. Meninggal dunia dalam keadaan melaksanakan amalan soleh

مَنْ قَالَ : لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ ابتِغَاءَ وَجْهِ اللَّهِ ، خُتِمَ لَهُ بهَا دَخَلَ الْجَنَّةَ ، وَمَنْ صَامَ يَوْمًا ابتِغَاءَ وَجْهِ اللَّهِ خُتِمَ لَهُ بهَا ، دَخَلَ الْجَنَّةَ ، وَمَنْ تَصَدَّقَ بصَدَقَةٍ ابتِغَاءَ وَجْهِ اللَّهِ خُتِمَ لَهُ بهَا ، دَخَلَ الْجَنَّةَ “

Maksudnya: Barangsiapa yang mengucap ‘Laa ilaaha illallah’ ikhlas kerana mencari keredhaan dia Allah SWT, dan diakhiri hayatnya dengan perkara tersebut nescaya dia akan masuk Syurga. Barangsiapa yang berpuasa pada suatu hari kerana ingin mencari keredhaan Allah SWT, dan diakhiri hayatnya dengan perkara tersebut nescaya dia akan masuk Syurga. Barangsiapa yang bersedekah ikhlas kerana Allah SWT kemudian dia meninggal dunia, maka dia akan masuk Syurga.”

Hadis riwayat Ahmad: (23372)

Marilah sama-sama kita berdoa kepada Allah SWT supaya kita dimatikan dalam keadaan husnul khatimah dan ditempatkan di sisi Rasulullah SAW serta dalam kalangan orang yang soleh.

Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!

Image via SAYS Seismik

Lagi artikel menarik di SAYS Seismik:

More stories to read: