seismik

"Kerajaan 'Pintu Belakang' Menjijikkan, Khianat Mandat Rakyat" - Patriot

Makin rancak senario politik Malaysia sekarang.

Cover image via Perak Today

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bersama sebilangan ahli parlimen yang lain dilaporkan telah menghadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara, semalam

Image via TheSundaily

Pertemuan itu menguatkan lagi khabar angin yang mengatakan bahawa satu ikatan baru bakal ditubuhkan membabitkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), UMNO, PAS, Warisan dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) serta sebahagian Ahli Parlimen Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Bukan itu sahaja, terdapat desas-desus juga menyatakan bahawa rombakan kabinet bakal berlaku yang mana ia didakwa bakal menamatkan penglibatan DAP dalam Kerajaan Persekutuan selepas ini.

Susulan daripada perkembangan terbaru senario politik itu, Persatuan Patriot Kebangsaan (Patriot) bertindak menyelar perkara tersebut dan meluahkan rasa kurang senang

Image via Air times.my

Memetik laporan Malaysiakini, Patriot melalui Presidennya, Mohamed Arshad Raji dalam satu kenyataan pagi tadi berkata, sebarang usaha mengkhianati mandat rakyat dengan membentuk kerajaan melalui 'pintu belakang' adalah tidak boleh diterima.

Menyifatkan ia sebagai sangat menjijikkan, beliau berpendirian bahawa sebarang perubahan kerajaan perlu dibuat secara demokratik dengan menyerahkan semula mandat kepada rakyat bagi menentukan kerajaan yang dimahukan mereka.

"Patriot berasa jijik dengan perkembangan terbaru politik dalam cubaan untuk membentuk kerajaan melalui pintu belakang.

"Seperti yang banyak dilaporkan Bersatu dan sebahagian ahli politik PKR cuba membentuk kerajaan baru bersama UMNO dan PAS," katanya.

Beliau berkata perkembangan tersebut juga sangat mengejutkan lebih-lebih lagi hanya pada dua hari lalu Pakatan Harapan mengisytiharkan isu tentang penggantian kuasa Perdana Menteri

"Ini adalah mengejutkan terutama hanya dua hari selepas Majlis Presiden PH mengisytiharkan isu penggantian perdana menteri sudah selesai," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan.

Mohamed Arshad dalam pada itu berkata langkah pembentukan kerajaan baru melalui pintu belakang adalah pengkhiatan kepada mandat rakyat.

Malah beliau juga berpendirian untuk tidak menyokong sebarang kerajaan yang dibentuk dengan memasukkan UMNO dan PAS.

"Patriot tidak akan menyokong sebarang kerajaan yang dibentuk dengan memasukkan UMNO dan PAS.

"Jika benar kerajaan PH sudah runtuh, seperti amalan demokrasi matang yang lain, langkah yang betul perlu diambil ialah membubarkan parlimen agar parti gabungan boleh mendapatkan mandat baru daripada rakyat," katanya lagi.

Senario politik kali ini memang cukup mendebarkan. Sebagai rakyat, kita hanya mampu mendoakan yang terbaik.

LIKE Facebook dan follow Twitter SAYS SEISMIK dan temui segala cerita mesti kongsi sekarang!

Artikel berkaitan:

You may be interested in: