seismik

"Kita Mungkin Menghadapi Gelombang Ketiga Virus Ini..." - Pengarah KKM

Kasihanilah mereka yang bertungkus-lumus memerangi wabak ini

Cover image via Asia Times

Ekoran penularan wabak Covid-19 yang semakin berleluasa di negara ini, Perintah Kawalan Pergerakan terpaksa dikeluarkan malah telah dimulakan mulai hari ini sehingga 31 Mac 2020

Image via Facebook

Namun meskipun ia telah mula berkuat-kuasa, masih banyak dalam kalangan rakyat Malaysia yang seolah-olah mengambil mudah akan perkara itu.

Di media sosial, dapat dilihat gambar dan suasana di mana rata-rata penduduk masih sesuka hati berada di luar rumah, malah seolah-olah dengan 'tenang' menjamu selera di kedai-kedai makan dan tidak mempedulikan arahan yang dikeluarkan.

Bukan itu sahaja, ada juga sebilangan rakyat Malaysia yang mengambil kesempatan ini untuk pulang ke kampung dan seterusnya mencetuskan kesesakan di terminal bas dan juga atas jalan raya.

Tanpa disedari, perbuatan-perbuatan ini secara tidak langsung telah memberikan risiko yang lebih tinggi untuk seseorang individu dijangkiti wabak Covid-19 selepas ini.

Melihat kepada situasi ini, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah telah mengeluarkan satu kenyataan bagi merayu kepada seluruh rakyat Malaysia untuk mengikut arahan yang telah dikeluarkan oleh kerajaan

Image via Malay mail

Dalam satu kenyataan ringkas yang telah dibuat oleh beliau di laman Facebook miliknya, Noor Hisham memohon agar seluruh masyarakat dapat membantu KKM dengan mengikut arahan Perintah Kawalan Pergerakan yang telah dikeluarkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Isnin lalu.

"Hari ini adalah hari pertama perintah kawalan pergerakan di negara kita. Dengan kata-kata mudah, sila duduk di rumah dan jarakkan diri anda daripada orang lain.

"Kita mempunyai peluang yang tipis untuk memutuskan rangkaian jangkitan COVID-19. Bantulah KKM dengan memainkan peranan anda, kerana setiap individu bertanggungjawab untuk mengambil segala langkah, berjaga-jaga demi keselamatan diri dan keluarga," katanya.

Noor Hisham dalam pada itu turut menyatakan risiko yang bakal dihadapi jika masyarakat mengambil sikap sambil lewa dan tidak menuruti arahan yang telah dikeluarkan.

"Kegagalan bukan pilihan di sini. Jika tidak, kita mungkin menghadapi gelombang ketiga virus ini, yang seterusnya akan menjadi lebih besar seperti tsunami, lebih-lebih lagi, jika kita mempunyai sikap "tidak kisah".

"Saya merayu kepada semua rakyat Malaysia, sila ambil perintah kawalan pergerakan ini secara serius. Duduk di rumah dan jangan keluar," rayunya.

Kasihanilah mereka yang sedang bertungkus-lumus dalam menangani wabak ini. Berhentilah dari terus bersikap degil dan mementingkan diri sendiri.

LIKE Facebook dan follow Twitter SAYS SEISMIK dan temui segala cerita mesti kongsi sekarang!

Lagi artikel berkenaan #COVID2019 di SAYS:

You may be interested in: