seismik

KKM Arah Henti Jual Aiskrim Perisa Ubat Batuk Tradisional 'Pei Pa Kao' Serta-Merta

Difahamkan, semua media pengiklanan termasuk platform e-dagang dan media sosial turut diarah menghentikan penyiaran iklan makanan berkenaan.

Cover image via Sunway Carnival & @myinsidescoop (Instagram)

Follow kami di WhatsApp ChannelsTelegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini mengeluarkan arahan kepada semua premis yang menjalankan aktiviti penjualan produk aiskrim yang dicampur ubat batuk tradisional Pei Pa Koa (Cap Ibu dan Anak) agar menghentikan serta-merta penjualan produk itu bagi keselamatan pengguna

KKM dalam satu kenyataan memaklumkan arahan itu susulan semakan KKM melalui Program Keselamatan dan Kualiti Makanan (PKKM) terhadap aktiviti penjualan produk berkenaan di premis ditularkan yang mendapati aiskrim berkenaan disediakan bersama picagari berisi ubat batuk Pei Pa Koa.

Kementerian itu menyebut Seksyen 13B (2) Akta Makanan 1983 tidak membenarkan penyediaan atau penjualan apa-apa makanan yang diadukkan dan jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM20,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.

"Pihak industri makanan diingatkan supaya bertanggungjawab untuk memastikan semua produk makanan yang dijual mematuhi Akta Makanan 1983 dan peraturan-peraturan di bawahnya walaupun bagi tujuan untuk pemasaran dan melariskan jualan," menurut kenyataan itu.

Arahan sama turut diberikan kepada semua media pengiklanan termasuk platform e-dagang dan media sosial agar menghentikan penyiaran iklan makanan berkenaan.

Kementerian itu turut menasihatkan orang ramai supaya lebih peka dengan isu keselamatan makanan dan sentiasa berhati-hati semasa membeli produk makanan yang mungkin diaduk dengan bahan tidak sesuai atau tidak selamat untuk dimakan.

Untuk rekod, ubat batuk Pei Pa Koa adalah produk berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah, KKM di bawah kategori tradisional yang digunakan untuk melegakan sakit tekak serta batuk dengan kontraindikasi bagi wanita hamil seperti yang dinyatakan pada label.

Dalam pada itu, syarikat aiskrim Inside Scoop turut menghentikan serta-merta penjualan aiskrim berperisa ubat batuk Pei Pa Koa susulan arahan KKM berkenaan

Syarikat itu dalam satu kenyataan di Instagram berkata, pelanggan yang memesan aiskrim perisa tersebut secara dalam talian boleh meminta pemulangan semula wang.

"Kami memohon maaf atas segala kesulitan yang timbul dan menghargai sokongan yang diberikan kepada kami," katanya.

Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!

Image via SAYS Seismik

Baca lagi artikel menarik lain hanya di SAYS Seismik:

You may be interested in: