Klasifikasi Umur Penapisan Filem Bukan Jadi Lesen Tayang Kandungan Tanpa Batasan
Difahamkan, filem yang memenuhi syarat boleh ditayangkan tanpa pemotongan babak tertentu tetapi dengan klasifikasi umur yang ketat
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Klasifikasi umur bagi filem kategori 18 bukan lesen untuk memaparkan sebarang kandungan tanpa batasan
Menerusi laporan Bernama, Kementerian Komunikasi berkata sebaliknya filem berkenaan tetap tertakluk pada garis panduan penapisan yang berkuat kuasa.
Kementerian itu memaklumkan Lembaga Penapis Filem (LPF), Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan terus menilai kandungan filem berdasarkan aspek keselamatan dan ketenteraman awam, keagamaan, sosiobudaya serta ketertiban dan ketatasusilaan.
"Kandungan yang melanggar garis panduan penapisan, termasuk yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat, tetap tertakluk pada tindakan sewajarnya," menurut kementerian itu.

Pendekatan membenarkan filem kategori 18 ditayangkan tanpa pemotongan babak tertentu merupakan anjakan kaedah kawalan daripada pemotongan babak kepada klasifikasi berdasarkan kesesuaian umur penonton dan bukannya pelonggaran kawalan kandungan
Kementerian Komunikasi memaklumkan di bawah pendekatan berkenaan, filem yang memenuhi syarat boleh ditayangkan tanpa pemotongan babak tertentu, tetapi dengan klasifikasi umur yang ketat.
"Garis Panduan Penapisan Filem (GPPF) 2024 telah memperincikan kategori klasifikasi mengikut kesesuaian umur penonton, yang antara lain membolehkan orang dewasa membuat pilihan yang bijak bagi filem yang hendak ditonton.
"la juga bertujuan mendidik dan melindungi remaja dan kanak-kanak daripada terdedah kepada kandungan yang tidak sesuai dengan peringkat umur mereka dan boleh menjejaskan tingkah laku mereka, serta meletakkan tanggungjawab pada ibu bapa dalam mengawal dan membimbing anak-anak untuk memilih kandungan yang sesuai," menurut kementerian itu.
la memaklumkan bahawa FINAS dan LPF akan terus bekerjasama dengan pemain industri untuk memastikan sistem klasifikasi filem diteliti dari semasa ke semasa agar kekal relevan dengan perkembangan industri dan landskap kandungan semasa.

Majlis Media Malaysia (MMM) yang ditubuhkan susulan penguatkuasaan Akta Majlis Media Malaysia 2025 (Akta 868) berperanan memperkasakan literasi media masyarakat dalam mendepani penyebaran maklumat palsu, kandungan berunsur kebencian (hate speech) serta cabaran teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI)
Kementerian Komunikasi menyatakan ia juga bertanggungjawab menggalakkan penghasilan laporan dan kandungan media yang sahih, tepat dan beretika, memperkukuh pematuhan terhadap kod etika kewartawanan serta menyediakan mekanisme aduan awam yang telus dan berkesan.
"Bagi menyokong penubuhan dan pengoperasian MMM, kerajaan menyediakan sokongan perundangan melalui pewujudan kerangka perundangan khusus, selain sokongan awal bagi pembangunan infrastruktur dan urusan pentadbiran.
"Kerjasama dengan agensi berkaitan turut menyokong pembangunan kapasiti dan profesionalisme pengamal media, termasuk melalui latihan dan pemerkasaan etika kewartawanan," menurut kementerian itu.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



Cover image via