"Lemah Lutut..." - Rupanya Lee Chong Wei 'Crush' Dekat Isteri Sejak Umur 15 Tahun. Amboi!
Sweetnya!
Umum pastinya sudah mengetahui bahawa lagenda badminton negara, Datuk Lee Chong Wei sudah mendirikan rumah tangga bersama isterinya, Datin Wong Mew Choo pada tahun 2012 yang lalu
Ini bermakna, pasangan itu kini sudah menjalani kehidupan bersama untuk hampir 8 tahun di samping kehadiran dua anak lelaki mereka sebagai penyeri.
Tanggal 1 Mei lalu pula merupakan tarikh hari kelahiran isteri kesayangan Datuk Lee Chong Wei untuk yang ke-37 tahun.
Seperti biasa, sebagai seorang suami yang romantis, sudah tentulah bekas pemain badminton nombor satu dunia itu akan meraikan hari lahir isterinya, Datin Wong Mew Choo. Semalam, beliau telah berkongsikan beberapa keping gambar sambutan hari lahir isterinya menerusi ruangan Instagram untuk tatapan para pengikutnya.
Namun selain gambar tersebut, apa yang menjadi perhatian netizen adalah 'pendedahan' yang dibuat Datuk Lee Chong Wei di dalam kapsyennya!
Datuk Lee Chong Wei mendedahkan bahawa beliau telah menyimpan perasaan terhadap isterinya itu sejak dirinya berumur 15 tahun lagi. Wow!
Dalam ucapan yang dibuat kepada isterinya semalam, Datuk Lee Chong Wei sempat 'membuka cerita' tentang perjalanannya sebagai seorang pemain badminton suatu ketika dahulu.
Namun apa yang menarik perhatian, bapa kepada dua anak itu kemudiannya mendedahkan bahawa beliau telah menyimpan perasaan terhadap isterinya sejak dari dahulu lagi iaitu ketika kali pertama menyertai kejohanan badminton di Kuala Lumpur.
Ini adalah terjemahan dari ucapan yang dibuat oleh beliau. Romantik sungguh!
Suatu masa dahulu, ada seorang budak mentah kurus kering umur 15 tahun naik bas dari Pulau Pinang ke Kuala Lumpur bagi menyertai kejohanan badminton. Penuh semangat bagi membuktikan kemampuannya dan cuba menempatkan diri dalam skuad kebangsaan.
Namun, pada penyertaan pertamanya dia hanya dapat beraksi dalam acara beregu campuran dan bukan acara kegemarannya iaitu perseorangan tetapi dia tetap bersemangat.
Memasuki dewan pertandingan, dia sangat fokus dan dalam otak cuma nak menang saja. Hanya fikir mengenai taktik lawan, strategi, tiupan angin dan keadaan dewan, gelanggang sebelah mana lagi 'Ong' dan kata-kata motivasi daripada coach.
Namun, semua persiapan mental itu masuk longkang apabila dia melihat gadis berusia 14 tahun wakil Selangor. Cara dia jalan masuk gelanggang, memanaskan badan... sangat elegan, sangat cantik. Lemah terus lutut itu budak Penang (Pulau Pinang).
Yang melucukan, beliau berkata dirinya tidak berani untuk meminta nombor telefon Mew Choo pada ketika itu kerana dikawal ketat oleh ahli keluarga
Nak minta nombor telefon tetapi dia dijaga oleh kakak dan ibu bapanya. Jadi, budak mentah itu merasakan satu cara mencuri perhatiannya adalah dengan kemenangan di dalam gelanggang.
Dalam kejohanan itu, semua pukulan smash, drop dive dan chop adalah untuk mengagumkan dia. Setiap kali mengutip mata, matanya curi-curi mencari di sekeliling mengharapkan dia melihatnya.
Budak mentah itu adalah saya dan bidadari di gelanggang itu sudah pasti isteri saya Wong Mew Choo. Selamat hari jadi kepada isteri saya.
Di ruangkan komen, rata-rata netizen turut terharu dengan kisah itu dan menganggap ia sebagai suatu perkara yang sangat romantis dan comel