Lepas Bantu 250 Pemandu Van Sekolah, Ustaz Ebit Lew Bagi Haiwan Makan Pula Di Zoo Negara
Semoga Allah balas segala budi baik UEL.
Ustaz Ebit Lew bukanlah satu nama yang asing lagi malah cukup dikenali dalam kalangan rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama
Digelar sebagai pendakwah bebas, Ustaz Ebit Lew (UEL) kini cukup mendapat perhatian netizen susulan daripada keprihatinnya membantu golongan yang kurang berkemampuan dalam menghadapi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Malah sebelum PKP juga, beliau giat turun padang bagi membantu insan yang tidak bernasib baik dan melakukan dakwah dengan cara yang sangat sopan serta lemah-lembut.
Meskipun ada sesetengah pihak yang dilihat 'kurang senang' dengan tindakan beliau, insan ini bagaimanapun tidak pernah kenal erti berputus asa malah terus giat menjalankan aktiviti badan kebajikannya bagi memastikan nasib golongan yang kurang bernasib baik ini terbela dan terjaga.
Terbaru, UEL menyediakan 200 kilogram (kg) daging lembu dan 500 kg buah serta sayur-sayuran untuk disumbangkan kepada penghuni Zoo Negara bagi memastikan kebajikan haiwan itu terbela.
Menerusi posting yang dimuat naik di Facebook rasminya hari ini, UEL memaklumkan beliau mendapat permintaan untuk menyelamatkan haiwan di Zoo Negara.
Katanya, permintaan itu dibuat sendiri oleh pengurusan Zoo Negara susulan tidak mampu menampung kos perbelanjaan dan penyelenggaraan mereka yang berjumlah RM1 juta setiap bulan akibat Covid-19.
“Mereka (Zoo Negara) menampung kos dengan hasil jualan tiket, namun sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sumber pendapatan kian susut.
“Sayu hati saya bila dapat tahu perkara itu tengah hari tadi dan bagi mengatasi masalah itu saya menyumbangkan 200kg daging lembu dan 500kg buah dan sayur-sayuran untuk menampung keperluan di sana,” katanya.
Rupa-rupanya Zoo Negara dikendalikan oleh badan bukan kerajaan (NGO) sahaja
Dalam pada itu, UEL turut mengalu-alukan orang ramai untuk menyampaikan sumbangan dalam bentuk wang mahupun makanan kepada pihak Zoo Negara.
"Dulu saya sampai sini masa darjah 1. Selalu juga bawa anak-anak. Kenalkan pada anak haiwan disini.
"Rupanya Zoo Negara dikendalikan oleh badan bukan kerajaan (NGO) sahaja, sesiapa ingin membantu boleh terus hubungi mereka,” ujarnya.
Terdahulu, UEL telah memberikan bantuan kepada pengusaha van sekolah yang terjejas pendapatan susulan penutupan sekolah berikutan Perintah Kawalan Pergerakkan Bersyarat (PKPB)
Menurut UEL, dia tidak dapat menahan sebak apabila ada pemandu van sekolah yang meminta bantuan daripadanya yang sudah sudah enam bulan tiada pendapatan.
Ujarnya, ramai pemandu van sekolah terpaksa melakukan kerja-kerja lain dengan menjadi penghantar makanan dan berniaga makanan secara kecil-kecilan untuk meneruskan kelangsungan hidup.
Tambahnya lagi, tanpa pemandu van sekolah pasti susah ibu ayah di luar sana untuk uruskan anak-anak ke sekolah lebih-lebih lagi buat mereka yang bekerja.
Difahamkan, UEL turut menghulurkan sumbangan barangan dapur serta sedikit duit belanja buat 250 orang pemandu van yang terjejas.