seismik

Menangis Tengok Cermin, Nana Mahazan Dedah Pernah Alami Masalah Kulit Breakout

Nana kini pertaruh jenama produk kulit sendiri dengan harga mampu milik.

Cover image via @nanamahazan (Instagram)

Follow kami di Telegram, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita dan artikel-artikel menarik di SAYS Seismik.

Hampir dua dekad menjadi anak seni dan beberapa tahun kebelakangan ini bergelar ahli perniagaan, Nana Mahazan, 39, boleh dianggap bijak menggunakan aset atau bakat dimilikinya

Sekalipun tidak terarah menyanyi atau berlakon seiring dengan platform pertandingan Akademi Fantasia musim pertama yang memperkenalkan namanya, isteri kepada Mohammad Raqeem Brian ini masih rancak meneruskan survivalnya dengan cara tersendiri.

Suara yang dimiliki ibu kepada dua cahaya mata ini biarpun tidak digunakan untuk menyanyi, namun dia optimis dan sedar ruang. Bermula dengan peluang menjadi penyampai radio, pemilik nama penuh Nurul Hana Che Mahazan ini seterusnya meneroka dunia pengacaraan.

Malah, Nana sendiri pernah mencuri kesempatan bergelar pelakon. Tapi sedar bakatnya mungkin tidak hebat seperti pelakon lain, fokusnya kembali kekal menjual 'suara' sebagai hos.

Kini bersama pengaruh dimilikinya di Instagram dengan 794,000 pengikut, pemilik tanda pagar #nanaootdpagar itu kekal relevan dan kebal mengukuhkan jenamanya termasuk melebarkan empayar perniagaan kecantikan dan makanan.

"Saya percaya sekalipun pintu dunia seni yang membuka jalan dan pintu rezeki, jaminan itu belum tentu selamanya. Jadi saya percaya apa yang tertulis membuka 1001 rahsia dan hikmah. Namun sesungguhnya, Allah sebaik baik perancang.

"Suara yang saya ada dan jaja selama ini biarpun tidak kepada fokus utama menjadi penyanyi atau pelakon, tapi digunakan untuk mengacara dan berceloteh. Tetap ada kaitan, dekat dengan diri atau timbal balik. Tertutup pintu rezeki itu, pasti ada punca lain yang akan dibuka-Nya.

"Malah menjadi artis dan wanita sendiri juga mengajar saya betapa pentingnya menjaga penampilan dan keyakinan. Suka melawa dan bersolek itu perkara biasa. Itu juga antara sebab mengapa saya memilih dunia perniagaan kecantikan menerusi Nana Mahazan Beauty sejak 2018," katanya yang bertudung sejak tahun lalu.

Sekadar minat untuk mengisi masa lapang dan menjana pendapatan sampingan

Menurut Nana, pada awalnya perniagaan diceburi itu berpaksikan minat, mengisi masa lapang dan tentunya untuk menjana pendapatan sampingan.

"Namun lama kelamaan saya memahami dunia niaga ini sebenarnya menjadi perantara atau kenderaan untuk membantu ramai orang. Seterusnya, insya-Allah untuk mendapat reda dan keberkatan-Nya.

"Kini seiring penambahan usia dan penambahan ilmu niaga, hala tuju saya sebagai usahawan juga berubah dimensi. Dengan produk dikeluarkan, kita bermula dengan mahu menolong orang lain menjaga kecantikan dengan harga 'best' dan berpatutan.

"Seterusnya saya mula fikir bagaimana pula nak ajak pengguna produk menjadi sebahagian daripada syarikat dan menjana pendapatan sampingan sebagai ejen serta stokis. Tambah pula di era pandemik Covid-19, ramai antara kita yang bergelut," katanya yang mula menjual alat solekan sebelum menghasilkan rangkaian produk penjagaan kulit.

Nana pernah mengalami masalah kulit 'breakout' atau timbul jerawat dan bintik merah kerana pori tersumbat.

Image via @nanamahazan (Instagram)

Lebih daripada itu dan atas keikhlasan hati wanita berasal dari Muar Johor ini juga mahu memperkasa golongan wanita khususnya.

"Saya sendiri tahu bagaimana diselubungi perasaan sedih kerana tiada keyakinan diri. Saya boleh faham fasal pergelutan mereka yang diburu keresahan sebab kulit wajah teruk.

"Ironinya saya melalui fasa itu pada tahun 2017. Saya alami masalah kulit 'breakout' atau timbul jerawat dan bintik merah kerana pori tersumbat dek pelbagai masalah melanda. Suami saya sendiri menjadi saksi paling dekat melihat saya ada dalam keadaan paling dasyat itu.

"Masa itu, saya akan tengok cermin sambil menangis setiap hari. Suami juga yang selalu suntik semangat tanpa gagal untuk saya cuba tips atau produk itu ini. Dialah penyokong setia menerima kelebihan dan kekurangan diri. Dia juga tulang belakang di sebalik kejayaan saya. Kalau ada pepatah di sebalik kejayaan lelaki ada wanita di belakangnya. Tapi kes saya, jadi sebaliknya," katanya.

Bangkit daripada fasa 'breakout' dengan mencuba pelbagai jenis produk kulit

Jelas Nana lagi, setahun lebih juga dia bangkit daripada fasa 'breakout' itu dengan mencuba pelbagai jenis produk kulit.

Malah selepas ramai melihat perubahan wajahnya, Nana terlintas memasarkan rangkaian jenama produk penjagaan kulit sendiri pada tahun 2020.

"Akhirnya saya bertemu dengan produk yang serasi dengan kulit wajah. Itupun selepas mencuba pelbagai produk. Selepas bertemu yang serasi, saya tidak lagi culas soal menjaga muka. Masalahnya produk itu harganya sangat mahal.

"Situasi itu (harga produk mahal) menjadi titik tolak untuk saya cuba hasilkan produk seumpama dengan harga berpatutan. Saya memilih buah kiwi yang dianggap sebagai 'superfood' dengan banyak khasiat dan nutrisi. Ia mempunyai sumber vitamin C lebih bagus berbanding oren.

"Ia juga bagus untuk merawat kulit muka. Tambahan pula ia menjadi buah kegemaran saya dan keluarga. Rangkaian produk ini mempunyai sijil halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), lulus Kementerian Kesihatan (KKM) dan harga 'rakyat'," katanya.

Usaha Nana menghasilkan produk berkualiti taraf antarabangsa dengan harga mampu milik memberi justifikasi cukup membahagiakannya.

"Ini antara sekecil kecil usaha saya menerusi proses penyelidikan dan pembangunan (R&D) dengan paksi mahu menolong rakyat Malaysia merasai ramuan bahan berkualiti dan menyamai taraf antarabangsa dengan harga mampu milik.

"Saya mahu semua rakyat Malaysia tahu produk ini sangat bagus dan terbukti sudah menolong ramai orang. Sudah ribuan testimoni yang berjaya mendapatkan kembali kulit sihat. Malah ada testimoni daripada seorang lelaki yang daripada kulit teruk, tapi kini bersih dan sihat. Perubahan itu buat saya teruja, gembira bercampur tangisan kerana usaha diteroka membuah hasil.

"Ramai juga ejen saya berjaya keluar daripada zon selesa mereka dan mula menjana pendapatan. Itulah yang saya harapkan dengan perniagaan ini yakni sama sama berkongsi rezeki. Ada dalam kalangan stokis meraih RM100,000 sebulan. Itu kejayaan yang sangat 'wow'," katanya.

Di akhir bicara, wanita yang kekal 'stailo' sekalipun bertudung itu sedar perjuangan sebagai usahawan takkan pernah terhenti.

"Setiap hari akan jadi ruang belajar dan terus memperbaiki diri. Saya mahu terus menginspirasi dan membantu golongan wanita khususnya seramai mungkin. Ia sama ada membina keyakinan diri dengan menggunakan produk atau menjana pendapatan. Boleh tekan http://linktr.ee/nanamahazanbeautyhq untuk info lanjut.

"Saya mahu mewujudkan lebih ramai pemimpin dan wanita berdikari. Begitu juga keinginan mengubah mereka yang sentiasa rasa rendah diri. Saya nak tanam dalam diri mereka ini semangat atau jati diri yang kuat.

"Kalau mereka tak pandai menjaga diri sendiri, bagaimana nak menyelia atau memimpin orang lain. Kesedaran perlu ada dalam diri. Insya-Allah lagi dua tahun dan jangka masa panjang, saya mahu Nana Mahazan Beauty tembus pasaran Asia Tenggara," katanya.

Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!

Image via SAYS Seismik

Baca lagi artikel menarik lain hanya di SAYS Seismik:

You may be interested in: