"Mustahil Anjing Yang Lakukan" - Laporan Medikal Tunjuk Kucing Dipotong Guna Senjata Tajam
Ramai pihak berharap kes berkenaan diteliti semula dengan bantuan daripada pakar, ekoran timbul pelbagai reaksi.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Kecoh sejak beberapa hari lalu mengenai penemuan dan kematian secara ngeri beberapa ekor kucing dalam kawasan kampus Universiti Malaya baru-baru ini
Susulan itu, satu sidang media khas telah diadakan di Petaling Jaya, Selangor hari ini.
Menurut Aktivis Hak Asasi Haiwan, Shima Aris, beliau mahu menuntut keadilan ke atas kematian kucing-kucing berkenaan dan mendakwa tiada bukti ia berpunca daripada anjing liar sepertimana yang didakwa oleh pihak berkuasa sebelum ini.
Tambah Shima lagi, laporan medikal yang diterima oleh pihaknya baru-baru ini jelas menunjukkan bahagian tubuh kucing terbabit dipotong oleh sejenis senjata tajam.
"Mustahil anjing yang lakukan, dalam laporan medikal yang kita terima dan hantar kucing terbabit untuk post-mortem adalah sebaliknya.
"Malah, dalam laporan itu juga jelas menunjukkan kecederaan yang dialami oleh bahagian tubuh kucing berkenaan dipercayai dipotong oleh sejenis senjata tajam," katanya kepada SEISMIK.
Gesa tindakan serta-merta dan siasatan menyeluruh dilaksanakan
Tambah Shima lagi, pihaknya bukan mempersoalkan siasatan dijalankan pihak berkuasa namun berharap jika kes berkenaan diteliti semula dengan bantuan daripada pakar, ekoran timbul pelbagai reaksi.
"Saya berharap pihak berkuasa tolong jalankan siasatan dengan telus dan ikhlas. Kami minta jasa mereka (pihak berkuasa) menjalankan siasatan terperinci," ujarnya.
Terdahulu, seekor kucing dinamakan 'Lily' ditemui mati dalam keadaan menyayat hati apabila keempat-empat kakinya seperti dipotong dan mempunyai luka besar pada badan di universiti itu.
Dalam pada itu, pihak polis juga mengumumkan bahawa kematian kucing di UM baru-baru ini dipercayai akibat serangan anjing liar.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa, berkata pihaknya menerima tiga laporan polis berhubung kejadian kematian kucing itu pada Isnin, Jumaat dan Sabtu lalu.
Menurut Rusdi, tiada saksi yang melihat kejadian itu namun hasil semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di sekitar kawasan universiti berkenaan mendapati, terdapat sekumpulan anjing liar bertindak menyerang kucing berkenaan dan turut merujuk perkara itu kepada Lembaga Kebajikan Haiwan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV).
3 tahun penjara dan denda maksimum sehingga RM100,000 jika pelaku didapati bersalah
Dalam pada itu, Peguam Hak Asasi Haiwan, Rajesh Nagarajan memberitahu, tindakan dan hukuman maksimum sewajarnya perlu diberikan kepada pelaku.
"Seseorang pelaku yang mendera mana-mana haiwan, haruslah dituduh dibawah Seksyen 29, Akta Kebajikan Haiwan 2015.
"Di mana hukuman yang akan dikenakan adalah maksima sebanyak 3 tahun penjara dan denda minima RM20,000 atau maksima RM100,000.
"Tetapi kami memohon dan berharap jika pelaku yang melakukan tindakan keji ini berjaya ditangkap dimasukkan terus ke dalam penjara serta dikenakan hukuman maksima kerana perbuatan ini sangat-sangat kejam," katanya.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!