"Walaupun Dia Tahu Kami Mat Rempit, Dia Tetap Berhenti Tolong. Terima Kasih Doktor”
"Syukur, saya selamat"
Viral di laman Facebook sejak dua hari lepas, apabila seorang pemuda yang dikenali dengan nama Muhammad Aizuddin telah berkongsi kisah tentang rakannya yang mengalami kemalangan jalan raya
Menurut Aizuddin, rakannya yang dikenali dengan nama Faizal Hasbullah Alimin berusia 20 tahun ini telah terlibat dalam kemalangan jalan raya di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak berhampiran Genting Sempah pada hari Ahad lalu. Berikutan daripada kejadian itu, beliau telah dibantu oleh seorang wanita yang dipercayai merupakan seorang doktor.
Gambar yang dikongsi oleh Aizuddin ini telah menerima 4,000 likes dan mendapat hampir 700 perkongsian oleh pengguna Facebook.
“Terima kasih kerana sudi bantu saya biarpun tiada pertalian darah dan berlainan bangsa."
Menurut laporan Harian Metro, kejadian malang ini berlaku pada 11.35 pagi, dimana Faizal ketika itu berada dalam perjalanan dari Hulu Langat ke Bentong bersama Aizuddin, 21 tahun yang menunggang motosikal lain.
Menurutnya, sebaik saja tiba di laluan berhampiran Genting Sempah, Kawasaki RR150 yang ditunggangnya tiba-tiba mengalami kerosakan. "Saya terjatuh di tengah jalan dan motosikal saya telah terbabas ke pembahagi jalan," kata Faizal.
Akibat dari insiden itu, tulang tangan kanannya telah terkeluar dari posisi asal dan hampir seluruh badan serta kakinya luka akibat terseret pada jalan raya.
Wanita yang berhati mulia membantu Faizal di tepi bahu jalan itu dipercayai merupakan seorang doktor
"Ketika saya sedang menahan sakit, saya ternampak dua kenderaan berhenti di tepi jalan untuk memberi bantuan kepada saya. Seorang daripadanya terus mengawal lalu lintas manakala dua lagi datang ke arah saya untuk menguruskan kecederaan pada tangan saya. Terdapat dua orang wanita berbangsa Cina ketika itu dan salah seorang seorang daripadanya mengeluarkan peti kecemasan dan memberi bantuan medik kepada saya."
"Pada awalnya beliau datang dan memeriksa pernafasan dan nadi saya dengan menggunakan alatan perubatan yang dibawanya. Selepas itu dia kemudian membetulkan posisi tangan saya yang cedera. Selain itu wanita tersebut juga meminta Aizuddin untuk mencari manisan ataupun gula - gula untuk diberikan kepada saya supaya saya tidak lemah akibat kekurangan gula dalam badan," katanya lagi.
Faizal kemudian dibawa ke Hospital Bentong selepas hampir 15 minit menahan sakit di tepi bahu jalan
"Alhamdulillah saya berysukur kerana selamat tiba di hospital. Kemudiannya, saya dipindahkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) keesokan harinya".
Faizal berkata, biarpun kejadian terbabit sudah berlalu hampir empat hari, namun hatinya masih tersentuh dengan keprihatinan wanita terbabit.
"Selalunya penunggang motosikal ini orang akan anggap 'mat rempit', namun bila saya melihat kesungguhan wanita terbabit, saya tidak nampak pandangan prejudis itu. "Kalau boleh saya mahu jumpa doktor terbabit dan ucap terima kasih kepadanya," katanya.