PDRM Tawar Diskaun Saman Trafik Sehingga 50 Peratus Dari 10 Hingga 12 Januari Ini
Siapa yang ada saman tertunggak itu, boleh segera lunaskan sementara ada diskaun!
Berita baik buat rakyat Malaysia yang mempunyai saman trafik tertunggak dan masih belum membayarnya sehingga kini
Menurut Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT), Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur menawarkan pengurangan kadar saman trafik sehingga 50 peratus bermula 10 hingga 12 Januari ini di Balai Polis Trafik Jalan Tun H.S. Lee Kuala Lumpur.
Menerusi kenyataan di laman Facebook, JSPT KL berkata, tawaran tersebut diberikan pada tarikh yang ditetapkan sahaja, bermula jam 8.30 pagi hingga 4.30 petang.
Selain itu, individu yang ingin mendapatkan tawaran diskaun tidak boleh membuat pembayaran melalui laman web MYEG dan harus hadir secara fizikal ke balai trafik berkenaan.
“Bayaran atas talian hanya melalui aplikasi mybayarsaman dan OKS (orang kena saman) perlu hadir bagi mendapatkan barcode diskaun mybayarsaman.
“Pembayaran boleh dibuat dengan menggunakan tunai atau debit kad atau kredit kad. Tetapi admin menggalakkan pembayaran secara tunai untuk mengelakkan masalah semasa pembayaran,” katanya.
Tawaran tidak dihadkan untuk saman di Kuala Lumpur sahaja, tetapi sah untuk semua saman dari seluruh Malaysia
Selain itu, tawaran diskaun ini layak untuk saman yang dikeluarkan di seluruh negara oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) sahaja dan tidak melibatkan saman agensi-agensi lain.
Bagaimanapun, diskaun tersebut tidak diberikan kepada 9 jenis kesalahan seperti kesalahan menggunakan lorong kecemasan, memotong di garisan berkembar, jalan semasa lampu isyarat merah, kesalahan tidak boleh kompaun (NC), saman pengubahsuaian ekzos, memotong secara bahaya (potong Q), saman kemalangan, kesalahan berkaitan kenderaan berat dan kesalahan status perbicaraan.
Tambahnya, “Orang awam yang ingin melakukan pembayaran perlu membuat semakan saman dahulu kemudian pindaan saman dan seterusnya pembayaran saman.”
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!