Peniaga Kuih Dan Makanan Resah, Kenaikan Harga Santan Beri Kesan Kepada Perniagaan
Lagi nak dekat puasa ni, banyak pakai santan kot.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Peniaga dan penjual kuih-muih luah rasa resah apabila harga santan naik hampir 90 peratus susulan isu kekurangan bekalan kelapa sejak Oktober tahun lepas
Menurut laporan Harian Metro, peniaga memberitahu mereka terpaksa menghadapi masalah seperti dimarahi pelanggan apabila terpaksa menaikkan harga jualan.
Seorang peniaga kuih-muih di Perling, Zarina Abdul Majid berkata harga santan yang naik ke paras tertinggi iaitu RM17 sekilogram sejak Oktober lalu berbanding hanya RM9 sekilogram sebelum ini telah memberi masalah kepada mereka.
"Saya tiada pilihan, terpaksa menaikkan harga sebiji kuih antaranya kuih lapis dan talam yang sebelum ini dijual pada harga 40 sen kepada 50 sen, bila berlaku kenaikan harga bahan mentah, selain santan, tahun lalu.
"Harga makanan lain yang berasas santan yang dijual termasuk nasi lemak dan rendang juga terpaksa dinaikkan sedikit kerana menggunakan santan yang banyak.
"Namun, pembeli pula merungut dan menyalahkan peniaga kononnya kami mengambil kesempatan, malah kuih-muih serta makanan yang selalunya habis dijual, tidak lagi laku sejak kebelakangan ini, dan menyebabkan peniaga seperti saya terhimpit.
"Peniaga santan ada beritahu harga santan mungkin naik lagi ke RM20 sekilogram menjelang puasa, kami makin buntu," katanya
Kenaikan harga santan buat peniaga buntu sama ada menaikkan harga atau terus menghentikan jualan
Dalam pada itu, bagi seorang lagi peniaga kuih-muih di Gelang Patah, Norizan Noi Hamzah berkata kenaikan harga santan telah membuatkannya memikirkan untuk menghentikan jualan sebagai alternatif jika dia tidak menaikkan harga kuih.
Tambahnya, kebanyakan penjual kuih berasas santan terutama kuih talam dan lapis akan menggunakan santan asli bagi memastikan kualiti dan mengekalkan keenakan rasa.
"Jika gunakan santan campur, bukan sahaja rasanya berubah dan tidak sedap, malah pembeli juga akan hilang minat nak beli.
"Namun harga santan kini terlalu tinggi hingga tak balik modal menjual. Jika santan naik harga lagi kepada RM20 sekilogram seperti dilapor, kami yang tersepit," katanya.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita ‘mesti kongsi’ sekarang!