seismik

Tular Gambar Penoreh Getah ‘Rebah’ Lihat Rumah Dijilat Api, Ini Cara Untuk Hulur Bantuan

Dipercayai kebakaran tersebut berlaku di Kampung Gerong Apal, Jertih, Besut, pada 9.20 pagi tadi, ketika dia keluar menoreh getah di kebun berhampiran kampung berkenaan.

Cover image via Facebook Mujahidah Ida

Tular gambar seorang warga emas yang bekerja sebagai penoreh getah 'rebah' dan terduduk melihat kediamannya musnah dijilat api

Dipercayai kebakaran tersebut berlaku di Kampung Gerong Apal, Jertih, Besut, pada 9.20 pagi tadi, ketika dia keluar menoreh getah di kebun berhampiran kampung berkenaan.

Menurut laporan Harian Metro, ketika kejadian berlaku, warga emas berusia 65 tahun itu tinggal di rumah berkenaan bersama anak lelakinya, 39, serta seorang cucu, 2.

Dia bagaimanapun bersyukur kerana kedua-dua mereka selamat dalam kebakaran terbabit.

Difahamkan ketika kejadian, dua beranak terbabit dikatakan tidur dan terjaga apabila ruang rumah papan itu dipenuhi asap tebal.

Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jertih, Muhammad Tarmimi Che Musa, kebakaran itu menyebabkan keluarga mangsa tinggal sehelai sepinggang apabila keseluruhan rumah musnah

“Sebaik menerima panggilan kebakaran pada 9.42 pagi, sepasukan 16 anggota diketuai Komander Operasi PBK I Seman Awang dikejarkan ke lokasi kejadian bersama dua jentera dan sebuah jentera tangki air,” katanya.

Katanya, sebaik tiba di lokasi, pihaknya mendapati api sudah membakar hampir keseluruhan rumah. Muhammad Tarmimi berkata, operasi memadamkan kebakaran rumah berkenaan mengambil masa selama 20 minit.

“Siasatan bagi mencari punca kejadian dan kerugian yang dialami mangsa sedang dijalankan,” tambahnya.

Ekoran tularnya gambar-gambar tersebut di laman sosial, ternyata ramai yang sebak dan bersimpati dengan nasib yang menimpa warga emas itu yang dikenali sebagai pakcik Soh

Menerusi laman Facebook, seorang pengguna dengan nama Mujahidah Ida telah berkongsikan cara untuk orang ramai menyalurkan sumbangan kepada pakcik Soh sekeluarga melalui maklumat akaun bank yang telah diberikan.

Meninjau di ruangan komen, ramai yang sangat prihatin dengan nasib yang menimpa pakcik Soh. Kebanyakannya meninggalkan kata-kata semangat buat dirinya sekeluarga dan mendoakan agar penoreh getah itu tabah menerima dugaan.

Semoga pakcik Soh sekeluarga dimurahkan rezeki dan dipermudahkan segala urusan buat mereka.

LIKE Facebook dan follow Twitter SAYS SEISMIK dan temui segala cerita mesti kongsi sekarang!

Lagi artikel terkini di SAYS:

You may be interested in: