seismik

Polis Kini Giat Pantau Syarikat GISB, Terima 4 Laporan Eksploitasi Terhadap Kanak-Kanak

Organisasi itu yang dipercayai serpihan daripada kumpulan ajaran sesat.

Cover image via Facebook & Kosmo

Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan terhadap Global Ikhwan Sdn. Bhd. (GISB) yang disyaki terlibat dalam kegiatan eksploitasi kanak-kanak

Menerusi laporan, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, ia susulan empat laporan yang diterima pihaknya di sekitar Selangor.

"Ini adalah laporan yang terbaharu. Mungkin ada lagi di negeri lain yang kita sedang kumpulkan dan kita akan maklumkan kemudian.

"Kes ini disiasat di bawah Seksyen 32 (a) Akta Kanak-Kanak 200 kerana mengeksploitasi kanak-kanak untuk mengutip dana, derma dan sebagainya," katanya.

Image via Dagang News

Difahamkan, modus operandi organisasi tersebut dikesan mengeksploitasi ahli dan kanak-kanak melalui penubuhan rumah amal dan kebajikan bagi tujuan kutipan derma.

Beliau menambah, ahli organisasi itu juga dipercayai tidak dicarum melalui Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) selain dikenakan tindakan kuarantin sekiranya melakukan kesalahan.

Malah, organisasi berkenaan yang dipercayai serpihan daripada kumpulan ajaran sesat yang kini berada dalam senarai pemantauan Cawangan Khas PDRM.

"Daripada senarai yang dikeluarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) atau Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN), sebanyak 154 ajaran sesat dipantau.

"Di pihak PDRM pula, kita ada 114 yang mana daripada jumlah ini, kira-kira 14 kumpulan aktif manakala 8 lagi di dalam pemantauan termasuklah GISB," katanya.

Jelasnya, sebanyak 80 laporan polis dibuat berhubung aktiviti ajaran sesat dengan 122 orang ditangkap bagi tempoh 2022 hingga Ogos 2024.

"Ini satu proses yang berterusan dan kita akan terus memantau dan bekerjsama dengan JAIN dan Jakim untuk membanteras aktiviti ini yang dikhuatiri boleh menjurus kepada isu ekstremis," katanya.

Individu dakwa jumpa rumah anak yatim yang digunakan syarikat terbabit untuk mengeksploitasi kanak-kanak

Dalam pada itu, seorang individu menerusi hantaran di Facebook berkongsi pengalamannya ketika berada di sebuah rumah anak yatim.

Katanya, dia merasa pelik dengan rumah terbabit dan cuba mencari kepastian mengenainya. Namun, dia terkejut dengan maklumat yang ditemuinya itu.

"Pengajarannya, selepas ni, kalau nak buat amal kebajikan dengan Rumah Anak Yatim, kita 'siasat' dahulu. Cari maklumat mereka. Bukan untuk bersangka buruk. Tapi langkah berhati-hati.

"Memanglah Allah yang menentukan apa yang kita buat tu diterima sebagai amal soleh atau tidak. Tapi, dalam masa sama biarlah kebajikan itu diberi kepada orang yang selayaknya, bukan scammer, bukan penunggang agama, bukan kumpulan ajaran sesat, bukan kumpulan yang bukan-bukan," tulisnya.

Sebelum ini, media melaporkan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar mengesahkan akan ada libat urus dengan wakil syarikat GISB.

Ia selepas pelbagai dakwaan berhubung organisasi tersebut yang didakwa mempunyai kaitan dengan ajaran sesat al-Arqam dan Rufaqa, antaranya mengekploitasi agama dan kanak-kanak untuk meminta dan menjalankan perniagaan.

Image via Facebook

Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!

Image via SAYS Seismik

Lagi artikel menarik di SAYS Seismik:

You may be interested in: