Nota Haji Lisa Surihani Raih Pujian, Penuh Catatan Ilmu & Doa Hasil Hadir Kuliah Agama
MashaAllah, cantik tulisan Datin Lisa. Semoga terus kekal istiqamah.
Cover image via @dramirulhassan (TikTok)Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Pelakon terkenal, Lisa Surihani sekali lagi meraih perhatian netizen, namun kali ini bukan kerana dunia hiburan sebaliknya menerusi kesungguhannya membuat persiapan rohani bagi menunaikan ibadah haji
Perkara itu didedahkan oleh seorang petugas di Tanah Suci, Dr Amirul Hassan, menerusi video yang dimuat naik di TikTok baru-baru ini.
Menerusi perkongsian tersebut, Dr Amirul menunjukkan beberapa buah buku nota milik Lisa yang dipenuhi dengan catatan ilmu agama, doa serta amalan harian yang ditulis sendiri sebagai persediaan menghadapi ibadah haji.
Apa yang mencuri perhatian ramai adalah nota tersebut ditulis dengan sangat teratur dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris, sekali gus menggambarkan kesungguhan beliau dalam mendalami ilmu agama.


Menurut Lisa, segala catatan itu merupakan hasil daripada kuliah-kuliah agama yang pernah dihadirinya sebelum berangkat ke Tanah Suci.
Bukan sekadar berkaitan ibadah haji, buku nota tersebut turut mengandungi pelbagai ilmu lain termasuk panduan solat, selawat, istighfar, zikir serta amalan-amalan harian yang boleh diamalkan sepanjang kehidupan.
Dr Amirul turut berkongsi satu lagi buku yang sarat dengan himpunan doa, selawat dan zikir yang ditulis tangan oleh Lisa sendiri
Menurut beliau, sebahagian doa yang dicatatkan dalam buku tersebut juga merupakan doa-doa yang pernah dikongsikannya sebelum ini.
"Saya kagum dengan catatan Hajjah Lisa Surihani sebagai persediaan rohani beliau menghadapi hari-hari haji. Banyak doa yang saya kongsi, beliau sendiri cakna dan hafal," katanya.
Dalam masa sama, Dr Amirul turut memaklumkan bahawa Lisa meminta orang ramai untuk terus mendoakannya agar kekal istiqamah dalam mendekatkan diri kepada Allah SWT.

Perkongsian itu mengundang pelbagai reaksi positif daripada netizen yang rata-ratanya memuji kesungguhan Lisa dalam menuntut ilmu dan membuat persiapan sebelum menunaikan rukun Islam kelima itu.
Ramai menyifatkan usaha pelakon tersebut sebagai satu inspirasi yang baik, selain mengingatkan bahawa ibadah bukan sekadar amalan fizikal tetapi turut memerlukan persediaan ilmu dan penghayatan yang mendalam.
Lihat video di bawah:
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!


