Remaja 14 Tahun Ditahan Polis Gara-Gara Ambil Upah Jadi 'Scammer', Peroleh RM3,500 Sebulan
Difahamkan, mangsa penipuan mereka kebanyakannya dari China.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Baru-baru ini, pihak polis membuat serbuan di sebuah pusat panggilan milik sindiket penipuan di Sungai Besi dan telah menahan empat remaja berumur 14 hingga 16 tahun
Menurut laporan Harian Metro, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata kesemua suspek disyaki sebagai operator panggilan dan pengurus data sindiket terbabit.
"Sindiket ini disyaki memulakan operasi sekitar Januari dan mengendalikan platform Lehuigoua yang digunakan sebagai laman web menyerupai platform e-dagang.
"Platform ini dipromosikan sebagai tempat yang sah untuk membeli barang atau perkhidmatan namun hakikatnya ia adalah muka hadapan untuk skema penipuan lebih besar," katanya.
Suspek dipercayai sudah tidak bersekolah dan dibayar gaji kira-kira RM3,500 sebulan bagi mencari serta menjerat mangsa dari China
Menurutnya, sindiket terbabit menjanjikan habuan komisen yang lumayan kepada mangsa dan mendakwa ia bekerjasama dengan syarikat e-dagang ternama bagi menyakinkan sasaran mereka.
Katanya, mangsa yang berminat untuk menyertai akan dimasukkan ke dalam kumpulan sembang Telegram di mana segala arahan akan diberikan di situ.
"Komisen yang dijanjikan adalah berubah-ubah dari 0.3 hingga 0.6 peratus dengan janji untuk memperoleh pendapatan tinggi sering digunakan sebagai umpan.
"Siasatan setakat ini turut mendapati sindiket itu mempunyai akses terhadap akaun mangsa di platform berkenaan yang membolehkan ia mengubah data seperti maklumat kredit dan keuntungan," katanya lagi.
Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan kesemua suspek terdiri daripada dua lelaki dan dua wanita tempatan serta lima lelaki warga China berusia lingkungan 14 hingga 40 tahun.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!