Sambut Hari Guru Tema Pengantin. Amboi, Sakan Guru Di SK Chini Berpakaian Bak Raja Sehari!
Sambutan Hari Guru ini diadakan pada 10 April yang lalu.
Sesungguhnya peranan guru itu sememangnya sangat besar
Selepas ibu bapa, guru adalah insan yang bertanggungjawab untuk mendidik anak bangsa dan mencorak masa depan generasi muda. Peranan guru amatlah besar dalam memastikan anak-anak muridnya mencapai kejayaan.
Guru diibaratkan lilin yang membakar diri untuk menerangi masa depan anak murid. Sebagai seorang murid, kita sewajarnya menghargai jasa dan pengorbanan guru.
Maka tidak hairanlah dengan adanya sambutan Hari Guru. Mengadakan sambutan Hari Guru adalah salah satu cara untuk menghargai guru yang telah bersungguh-sungguh mendidik anak-anak murid supaya dapat mencapai keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan sekali gus membentuk masa depan yang cerah.
Bahkan, ada sesetengah sekolah yang menyambut Hari Guru dengan meriah sekali seperti mengadakan acara khas termasuklah menetapkan konsep tertentu untuk menceriakan suasana.
Lebih meriah lagi apabila sambutan untuk tahun ini bertemakan pakaian pengantin. Apa lagi? Melaramlah guru-guru di sana!
Dalam laman Facebook rasmi SK Chini (2), sekolah tersebut telah berkongsikan galeri gambar guru-guru yang menyertai tema pakaian pengantin tersebut.
Baik guru lelaki mahupun wanita, masing-masing mengenakan pakaian pengantin dari pelbagai tona dan rekaan. Yang lelaki kacak bergaya siap bertanjak dan berkeris, manakala yang wanita pula manis dengan mahkota dan bunga tangan. Memang sporting habis!
Lebih menceriakan lagi suasana apabila murid-murid di sekolah itu turut menyertai sambutan Hari Guru tersebut dengan bertindak sebagai pemegang bunga manggar dan pengangkat dulang.
Di bawah adalah antara gambar yang dikongsikan SK Chini (2)
Untuk pengetahuan, yang berpakaian sedondon ini memang suami isteri yang sah, ya!
Seronoklah tu, boleh bersanding lagi sekali.