"Sedut Hingus Anak Macam Siput Sedut" - Wanita Kongsi Kegigihan Suami Jaga Dirinya & Anak
Bukan itu sahaja, Miza juga tersentuh dengan sikap suaminya yang tidak kekok mencuci lukanya selepas bersalin.
Isteri dihantar ke kampung selepas bersalin adalah perkara biasa
Sudah menjadi kebiasaan, apabila berpantang ramai yang meminta pertolongan daripada ibu atau mentua untuk menjaga. Manakan tidak, ibu dan mentua merupakan orang yang paling berpengalaman dalam menjaga wanita yang dalam pantang kerana mereka sendiri pernah merasainya suatu masa dahulu.
Walau bagaimanapun, tempoh berpantang bukan bermakna suami lepas tangan daripada mengambil tahu tentang isteri dan diserahkan kepada ibu atau mentua. Bahkan ketika berpantang merupakan masa terbaik suami untuk menjaga isteri dengan baik.
Seperti pengalaman yang dialami sendiri oleh Nur Hamizah Rahman yang dijaga bagai menatang minyak yang penuh oleh sang suami ketika dia berada dalam tempoh berpantang
Nur Hamizah Rahman yang lebih mesra disapa Miza ini baru sahaja melahirkan cahaya mata sulungnya bersama suami, Amir Ridhwan Rahman pada 9 Oktober lalu.
Miza dianggap bertuah kerana memiliki suami yang sentiasa memastikan keadaan dirinya dan anak mereka dalam keadaan selesa. Amir sanggup tidak tidur demi menjaga anak mereka yang kadang kala terjaga tengah malam agar Miza mendapat rehat yang secukupnya dalam tempoh dia berpantang.
"Ada suatu hari tu saya terbangun kira-kira pukul 3 pagi sebab anak kami menangis tapi suami suruh saya berehat dan beritahu biar dia pula yang jaga anak kami.
"Anak kami mula-mula tu memang susah nak tidur malam. Akhirnya suami saya pun tak tidur sampai ke subuh. Dia mandi-mandi lepas tu terus pergi kerja.
"Setiap malam pula sebelum saya tidur dia akan pastikan urut saya dulu, pakaikan stokin dan selimutkan saya serta pastikan anak kami selesa. Lepas itu barulah dia akan tidur," katanya.
Menceritakan kisahnya kepada mStar Online, Miza sendiri terkejut dengan kegigihan suaminya itu, lebih-lebih lagi kerana suaminya tidak mempunyai pengalaman dalam hal ini namun mengakui memang menjadi sifat Amir untuk belajar dengan orang yang berpengalaman. Bahkan, Amir suka bertanya dengan orang tua tentang ilmu nak jaga sesuatu hubungan sejak sebelum mereka kahwin lagi.
Bukan itu sahaja, Miza juga tersentuh dengan sikap suaminya yang tidak kekok mencuci lukanya selepas bersalin
Miza yang mengalami koyakan tahap ketiga selepas bersalin tidak menyangka yang suaminya tetap kental mencuci lukanya itu tiap-tiap hari.
Di samping itu, Miza berkata suaminya itu turut menyedut keluar hingus anak mereka yang diserang selesema baru-baru ini.
"Anak saya selesema dan susah nak bernafas sebab hingus. Kebetulan saya tak beli lagi pembersih hidung waktu itu.
"Saya terkejut apabila suami cepat-cepat bangun berus gigi dan dia sedut hingus anak kami macam kita biasa sedut siput sedut tu.
"Sesetengah orang akan rasa geli tapi dia tak. Saya tak boleh bayangkan macam mana suami saya sanggup nak buat macam tu," katanya.
Best-nya ada suami dan ayah yang penyayang!
Suami-suami di luar sana boleh ikut jejak langkah lelaki ini. :D