Selepas Lebih 9 Bulan 'Berehat', Utusan Malaysia & Kosmo! Kembali Diterbitkan. Tahniah!
Kedua-dua akhbar itu kini dijual dengan harga RM2 senaskhah.
Akhbar Utusan Malaysia dan Kosmo! kembali dicetak semalam (20 Julai 2020) selepas lebih 9 bulan ditutup dari operasi perniagaannya
Kedua-dua akhbar itu mengumumkan penerbitan pertama mereka kini di bawah syarikat baru Media Mulia Sdn Bhd, masing-masing dengan harga RM2.
Kosmo! masih mengekalkan slogan 'Suara Kontemporari' manakala Utusan Malaysia pula tampil dengan slogan baru iaitu 'Pemikiran Baharu', kedua-dua akhbar itu turut mengekalkan saiz tabloid.
Menurut laporan, bercakap mengenai mengenai penerbitan semula, Pengarah Urusan merangkap Pengarang Kumpulan Media Mulia, Mohamad Azlan Jaafar berkata, akhbar itu akan berusaha mengembalikan keyakinan pembaca, menjadi penyebar maklumat yang boleh dipercayai dan mencetus percambahan idea.
"Kebertanggungjawaban menjadi panduan dalam setiap laporan, malah juga akan kredibiliti menjadi tonggak operasi. Masyarakat hari ini mengkehendaki laporan yang objektif, tepat, benar dan adil, sama ada dari aspek politik, sosial dan ekonomi.
"Iltizam kami, untuk bangunkan akhbar nasional yang membawa aspirasi setiap rakyat Malaysia," katanya.
Kemunculan semula akhbar Bahasa Melayu tertua negara dan akhbar tabloid itu turut mendapat sambutan orang ramai di media sosial
Beberapa pemimpin negara termasuk Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah juga mezahirkan ucapan tahniah kepada Utusan Malaysia dan Kosmo! atas pelancaran semula akhbar tersebut.
Ahli politik kerajaan dan pembangkang turut sama menyambut baik kelahiran semula dua akhbar itu yang kini beroperasi di ibu pejabat New Straits Times Press (NSTP) di Jalan Riong di Bangsar, Kuala Lumpur.
Sementara itu, tinjauan di media sosial juga mendapati portal berita kedua-dua akhbar itu dan semua pautan beritanya turut sudah boleh dilayari
Laman sesawang di www.utusan.com.my dan www.kosmo.com.my yang memuatkan pautan berita online kedua-dua akhbar itu juga kini boleh dilayari oleh orang ramai.
Selamat kembali Utusan Malaysia & Kosmo!, semoga terus maju jaya dalam menyajikan berita yang terbaik untuk rakyat Malaysia.