Sultan Johor Dipilih Sebagai Yang Di-Pertuan Agong Ke-17 Bermula 31 Januari 2024
Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pula dipilih sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17
Menerusi laporan Harian Metro, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad berkata, pelantikan selama lima tahun itu berkuat kuasa 31 Januari 2024.
"Menjunjung titah, saya memaklumkan, Majlis Raja-Raja dalam Mesyuarat Yang Ke-263 (Khas) berlangsung di Istana Negara pada 27 Oktober (hari ini) bersetuju mengisytiharkan, Sultan lbrahim, Sultan Johor dipilih sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XVll, selama tempoh lima tahun mulai dari tarikh 31 Januari 2024.
"Majlis Raja-Raja juga bersetuju mengisytiharkan, Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong, selama lima tahun mulai dari tarikh sama.
"Mesyuarat Khas Majlis Raja-Raja yang berlangsung hari ini, dipengerusikan Sultan Terengganu dan dihadiri semua Raja-raja kecuali Raja Perlis dan Sultan Kelantan," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Pemilihan Agong Ke-17 itu dilakukan dalam Mesyuarat Khas Majlis Raja-Raja di Istana Negara hari ini
Beliau berkata, berdasarkan peruntukan Paragraf 3, Bahagian Pertama, Jadual Ketiga Perlembagaan, keputusan Majlis Raja-Raja ini dikemukakan kepada kedua-dua Dewan Parlimen.
"Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga sudah dimaklumkan," katanya.
Pelantikan baharu itu menggantikan Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang bakal menamatkan pemerintahannya berkuat kuasa 30 Januari 2024.
Sebagai rekod, Al-Sultan Abdullah memegang tampuk kepimpinan negara selama lima tahun bermula 31 Januari 2019.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!