Sultan Selangor Kongsi Kisah Kucing Terbiar 'Snowy' Yang Dijaga Sejak 4 Tahun Lalu. Comel!
Snowy kini adalah kucing peliharaan kesayangan dan menjadi peneman setia Baginda.
Umum sedia maklum, Tuhan menciptakan manusia, haiwan dan tumbuhan itu dengan tujuan tertentu. Masing-masing diberikan peranan untuk saling melengkapi di antara satu dengan yang lain.
Perbezaan di antara manusia dan haiwan ialah akal dan keupayaan bagi berfikir secara rasional. Maka manusia haruslah menggunakan kelebihan akal yang diberikan untuk kebaikan.
Begitu juga dengan kisah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj yang berkongsikan cerita bagaimana berjumpa dengan seekor kucing terbiar di kediaman baginda.
Menerusi posting Facebook yang dimuat naik Selangor Royal Office oleh pihak Istana Alam Shah, seekor kucing terbiar yang dinamakan Snowy itu pada mulanya datang ke kediaman Sultan Sharafuddin empat tahun lalu untuk mencari makanan, namun diambil sebagai haiwan angkat di atas inisiatif baginda sendiri.
Snowy kini adalah kucing peliharaan kesayangan dan menjadi peneman setia baginda. Seperti kucing terbiar lain yang diambil untuk dipelihara, Snowy telah dihantar ke doktor veterinar untuk dikasi (neuter) dan dibersihkan.
Sultan Sharafuddin dan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin turut menzahirkan rasa dukacita kerana masih ada individu berlaku kejam terhadap haiwan terbiar
Baginda berdua terkilan kerana masih ada yang tidak tahu kaedah terbaik untuk melindungi haiwan berkenaan, khususnya ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Dalam pada itu, baginda berdua menitahkan rakyat khususnya di Selangor supaya tidak mengabaikan tanggungjawab melindungi haiwan terbiar khususnya kucing dan anjing.
"Titah baginda, adalah sangat penting untuk kita semua memiliki sifat belas kasihan terhadap haiwan sebegini dan menjadi tanggungjawab bersama untuk memberi mereka makan dan perlindungan, sama ada ketika dalam peliharaan atau pun apabila mereka berada dalam habitat sendiri.
Oleh itu, baginda berdua sendiri kini memelihara beberapa ekor kucing terbiar yang telah dikasi dan diberi perlindungan secukupnya.
Selain Snowy, Tengku Permaisuri Norashikin yang juga Penaung Diraja kepada program 'Stray Free Selangor' (SFS) kendalian 'Society For The Prevention of Cruelty Animals' (SPCA Selangor) telah menyelamatkan lebih 100 ekor kucing terbiar dengan hampir 30 ekor dipelihara baginda
"Menurut baginda, dengan kaedah haiwan angkat, haiwan terbiar ini boleh menjadi haiwan peliharaan yang bersih dan menyenangkan jika memberi rawatan dan penjagaan yang rapi.
"Untuk rekod, sejak Mac 2017 sehingga Disember 2020, sejumlah 7,117 ekor kucing dan anjing terbiar dikasi di bawah program SFS yang diselia oleh SPCA Selangor," katanya.
Dalam pada itu, Sultan Sharafuddin juga menitahkan agar pihak-pihak berkuasa tempatan (PBT) lebih pro-aktif dan bijak menangani isu haiwan terbiar ini secara holistik, dan bukan memberi gambaran buruk yang akhirnya akan menyebabkan haiwan-haiwan ini dikurung atau dibunuh
Baginda mahu PBT menjadikan negara Turki sebagai model, bagaimana pihak berkuasa negara itu mengendalikan haiwan-haiwan terbiar yang tidak berdosa ini daripada dizalimi.
Baginda berdua amat berharap agar rakyat dan seluruh komuniti di Selangor khususnya dan di Malaysia amnya, terus menyemai sifat belas kasihan dan sayangkan haiwan-haiwan terbiar ini serta mengambil berat tentang hak dan kebajikan haiwan seumpamanya.
Di kesempatan itu juga, baginda berdua turut berkenan mengingatkan rakyat jelata agar terus mematuhi SOP yang ditetapkan di bawah PKP, termasuk memakai pelitup muka dan hanya keluar dari rumah bila perlu bagi membendung wabak berbahaya Covid-19 daripada terus menular.