[VIDEO] FAM & Nike Perkenal Jersi Terbaru Skuad Kebangsaan Malaysia Musim 2020-2022
Ringkas dan tampak lebih kemas!
Selepas setahun tanpa sebarang aksi, Harimau Malaya kini kembali dengan pelancaran jersi terbaru pasukan kebangsaan Malaysia bagi edisi 2020-2022
Ia menyaksikan buat pertama kalinya sejak 2007, jersi utama atau home tampil dengan reka bentuk berkolar daripada Nike.
Sejak Nike menaja jersi pasukan kebangsaan Malaysia, kesemua tujuh reka bentuk jersi home sebelum ini iaitu pada 2007, 2008, 2010, 2012, 2014, 2016 dan 2018 adalah tidak berkolar, sekali gus kelainan baharu yang bakal diperagakan skuad Harimau Malaya bagi jersi edisi 2020-2022 ini.
Dengan mengekalkan logo FAM di bahagian sebelah kiri dada, warna kuning ikonik jersi home ini dipadankan dengan kehadiran warna hitam pada tiga bahagian iaitu kolar, lengan dan garis corak terkini Nike di bahagian sisi bagi menampakkan lagi kekemasannya.
Tonton video penuh pelancaran jersi terbaru berkenaan di bawah:
Jersi kedua atau away Malaysia 2020-2022 tampilkan kelainan apabila buat pertama kalinya tiada warna biru, putih atau merah seperti kebiasaan sebelum ini
Jersi away Malaysia 2020-2022 ini tampil dengan warna hitam sebagai warna utamanya, diselangi lima jalur berwarna kuning di bahagian depan serta kolar bulat dan hujung lengannya juga berwarna kuning.
Reka bentuk berjalur pada jersi away ini diinspirasikan daripada Jalur Gemilang (bendera Malaysia), namun kelainan yang ditampilkan ialah ia hanya menggabungkan warna hitam dan kuning, tanpa kehadiran warna biru, putih atau merah.
Jersi away ini mencerminkan semangat muda dan budaya ekspresif pasukan kebangsaan sambil pada masa yang sama untuk memberikan penghormatan kepada Harimau Malaya yang kaya dengan tradisinya.
Jersi baru pasukan kebangsaan Malaysia 2020-2022 ini sudah boleh didapati mulai hari ini di outlet Nike terpilih serta secara online di Nike dan Al-Ikhsan
Manakala bagi penjualan secara fizikal di 24 outlet terpilih Al-Ikhsan Sports dan semua outlet Football Republic di seluruh negara pula akan bermula pada 11 Disember 2020 dengan jersi home dan away ini, masing-masing dijual pada harga RM299.