[TERKINI] Rakyat Dibenarkan Keluar Berdua Dalam Tempoh PKP Fasa 4 Bermula Hari Ini
Hanya boleh ditemani oleh seorang lagi anggota keluarga yang tinggal serumah sahaja.
Hari ini, 29 April 2020, kerajaan telah memutuskan untuk memberi kelonggaran keluar berdua bagi membeli makanan atau barangan keperluan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Fasa 4
Menurut laporan, ketua keluarga yang keluar membeli makanan atau barangan keperluan sepanjang tempoh PKP Fasa 4 bermula hari ini dibenarkan untuk membawa seorang lagi ahli keluarga bersamanya. Namun begitu, ahli keluarga yang menemani perlu dipastikan tinggal di dalam rumah yang sama.
Kebenaran itu diberikan kerajaan menerusi kemas kini Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.
Peraturan ini juga telah diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan bakal berkuat kuasa mulai hari ini sehingga 12 Mei depan
Individu yang keluar ke klinik atau hospital untuk mendapatkan rawatan atau perubatan pula dibenarkan untuk disertai mana-mana orang lain yang dianggap perlu secara munasabah, selaras dengan Seksyen 4(1)(b)(ii) peraturan sama.
Namun begitu, warta kerajaan itu masih mengekalkan peraturan sebelum ini iaitu mereka hanya dibenarkan bergerak tidak melebihi 10 kilometer (km) dari kediaman masing-masing. Jika keperluan yang diperlukan tiada dalam lingkungan jarak tersebut, mereka yang tertentu akan diberikan kelonggaran.
Seksyen 5 pula memperuntukkan orang ramai untuk mendapatkan kebenaran bertulis dari balai polis berhampiran jika mahu melakukan pergerakan jarak jauh atau bagi sebab selain keperluan harian dan perubatan
Perlu diingatkan bahawa mana-mana pihak yang melanggar peraturan itu boleh didenda maksimum RM1,000 atau dipenjarakan sehingga enam bulan, atau kedua-duanya sekali.