TikTok, WeChat & Telegram Kini Diberi 'Lesen Penuh' MCMC - "Meta & X Masih Belum Dapat"
Dua syarikat besar China iaitu TikTok dan WeChat menjadi yang terawal terima lesen operasi tersebut.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Syarikat besar dari China, iaitu ByteDance (TikTok) dan Tencent (WeChat) menjadi dua perusahaan pertama yang diberikan lesen bagi membolehkan mereka beroperasi di negara Malaysia
Menurut laporan Harian Metro, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berkata, dua syarikat itu adalah antara empat penyedia perkhidmatan pesanan Internet dan media sosial utama yang mengambil langkah signifikan pematuhan kawal selia yang ditetapkan kerajaan bermula 1 Januari 2025.
Manakala, Telegram menjadi platform media sosial terbaharu yang diluluskan lesen untuk beroperasi di negara ini di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata Meta yang menyelia Facebook, Instagram dan WhatsApp turut memulakan proses untuk memperoleh lesen bagi membolehkan platform mereka beroperasi di dalam negara, yang dijangka akan dimuktamadkan tidak lama lagi.
"Tencent sudah diberikan Lesen Kelas Pemberi Perkhidmatan Aplikasi ASP(C), menjadikan mereka sebagai penyedia perkhidmatan pertama dilesenkan di bawah keperluan pelesenan untuk penyedia perkhidmatan pesanan Internet dan media sosial. Ia disusuli oleh ByteDance.
"X berkata jumlah penggunanya di Malaysia tidak mencapai nilai ambang lapan juta pengguna yang disyaratkan.
"Namun, MCMC sedang giat menyemak kesahihan jumlah pengguna dan akan meneruskan sesi libat urus bagi menilai kedudukan X," katanya.
Menurut MCMC, beberapa perkara dibangkitkan oleh Google seperti mengenai ciri-ciri perkongsian video YouTube dan klasifikasinya di bawah Kerangka Pelesenan
"MCMC membincangkan isu-isu yang dibangkitkan dan akan memastikan YouTube serta semua penyedia platform yang relevan dimaklumkan dengan jelas mengenai tugas dan tanggungjawab mereka untuk mematuhi Kerangka Pelesenan yang sudah berkuat kuasa," katanya lagi.
MCMC turut menegaskan, mereka akan menilai status penyedia platform yang masih belum memperoleh lesen yang dikehendaki dan akan mempertimbangkan tindakan yang wajar di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Katanya, penyedia platform yang didapati melanggar keperluan pelesenan boleh dikenakan siasatan dan tindakan pengawalseliaan.
"Keperluan pelesenan ini menekankan komitmen kerajaan untuk memperkukuh keselamatan dalam talian, mempertingkat perlindungan pengguna terutamanya untuk kanak-kanak dan golongan rentan dan pada masa yang sama menambah baik pengawasan kawal selia untuk Penyedia Perkhidmatan yang beroperasi di Malaysia.
"MCMC memuji usaha Penyedia Perkhidmatan yang mengambil langkah proaktif ke arah pematuhan dan menekankan kepentingan untuk mematuhi keperluan pelesenan. Kesemua usaha ini adalah penting dalam mewujudkan persekitaran dalam talian yang lebih selamat untuk semua rakyat Malaysia," tambahnya.
Terdahulu pada bulan Ogos 2024, MCMC memaklumkan semua perkhidmatan media sosial dan pesanan internet yang mempunyai sekurang-kurangnya lapan juta pengguna berdaftar di Malaysia perlu memohon Lesen Kelas Pemberian Perkhidmatan Aplikasi di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!