“Adakah Ini Fake News?” - Viral Video Guru Merangkak Dalam Kelas, Dr Maszlee Beri Respon
Guru perlu dihormati.
Hari ini, viral di media sosial sepotong video yang memperlihatkan seorang ustazah 'dihukum' oleh ibu kepada salah seorang murid di sebuah sekolah untuk merangkak di dalam kelas gara-gara tidak berpuas hati anaknya didenda
Video berdurasi 2:16 saat yang dikongsikan di laman Facebook milik individu bernama Asmahadi As Ad-Dimasyiqi itu memperlihatkan ustazah berkenaan 'diserang' seorang wanita yang juga ibu kepada salah seorang murid yang belajar di sekolah agama itu.
Di dalam video itu, ibu berkenaan telah mengarahkan seorang ustazah yang berada di dalam kelas itu untuk merangkak di sekeliling kelas dipercayai selepas tidak berpuas hati dengan denda yang dikenakan ke atas anaknya sebelum ini.
Perkara tersebut telah menimbulkan kemarahan netizen yang rata-ratanya tidak berpuas hati dengan tindakan ibu berkenaan dan menyifatkan ia sebagai kurang ajar.
Bukan itu sahaja, ada juga segelintir guru yang meluahkan rasa sedih berhubung perkara tersebut dan menganggap ia sebagai keterlaluan.
Tidak ketinggalan, terbaru bekas Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik turut membuka mulut dan meluahkan kekecewaannya berhubung kejadian itu
Menerusi satu perkongsian yang dibuat di laman Twitter miliknya, Maszlee berkata kejadian itu merupakan sesuatu perkara yang sangat menyedihkan.
Kurang sejam ia dimuat naik, perkongsian tersebut telah mendapat hampir 500RTs.
Bagi Maszlee, kejadian seperti itu tidak sepatutnya berlaku malah beliau juga pada awalnya seakan tidak percaya dengan perkara tersebut.